"Kalau mediokre itu boleh dibuat kuih, mungkin aku dapat keluar dari bebanan maksud mediokre itu sendiri dengan menjajanya."
Saturday, 15 November 2008
h i p o k r a s i ?
Hipokrit. Hypocrite. hyp-o-crite.
Langsung tiada kaitan dengan hippopotamus mahupun konkrit. Cuma satu gelaran untuk manusia bermuka-muka. Bukan juga bermaksud muka dia banyak tetapi merujuk kepada sikap. Jadi jangan ajar yang bukan-bukan tentang perkataan hipokrit kepada yang belum tahu.
Aku selalu dengar perkataan ini. Banyak kali zaman sekolah berasrama dulu.
*Jangan hipokrit dalam tarbiyyah*
Oh, iye. Perkataan tarbiyyah memang betul. Bukan aku sahaja-sahaja mahu letak. Sekolah berasrama penuh agama. Jadi perkataan tarbiyyah sudah menjadi sebutan mulut aku sejak itu.
Sebab sekolah berasrama agama. Bukan semua betul-betul mahu ikut semua aktiviti yang diberi
di asrama.
Usrah. Halaqah. Liqa'. Tazkirah. Kuliah subuh, zohor, asar, maghrib, Isya'.
Jadi ramai yang buat. Tapi terpaksa. Aku akui. Kadang-kadang aku buat terpaksa. Susah mahu ikhlas sepenuh hati. Tapi aku buat juga. Sebab rasa hormat. Respect. Tapi bila aku ikhlas aku tidur. Ok, tipu. Memang aku kebanyakan masa aku tidur. Setiap usrah, halaqah, liqa', kuliah subuh, zohor, asar, maghrib, isya'.
Atas rasa hormat aku buat. Jadi adakah boleh dilabelkan hipokrit atas dasar hormat? Aku tak tahu. Bukan aku yang menentukan. Label hipokrit tetap bertempel. Aku bukan mahu. Kamus yang label begitu. Manusia yang cipta kamus. Jadi salahkan pencipta kamus.
Aku bukan baik. Tetapi bukan juga sejahat penjahat. Cuma nakal. Tapi bila ada masa perlu hormat, aku hormat. Ada masa tidak perlu nakal, aku tak nakal. Kadang-kadang sahaja aku tidak perasan.
Jadi hipokrit. Label atas aku.
Ada orang kata. Malas jadi hipokrit. Sudah memang nakal, tunjuk sahaja nakal itu. Daripada jadi alim tapi buat nakal juga dibelakang.
Bingung. Mungkin aku. Mungkin juga mereka. Hipokrit aku jamin tidak sedangkal itu maksud dia. Semua manusia hipokrit atas nama kamus. Manusia memang suka melabel orang lain. Mungkin aku juga termasuk dalam manusia itu.
Kadang-kadang baik depan orang tetapi nakal. Hormat. Jaga adab. Bukan hipokrit. Tegur orang buat silap, tapi sendiri buat silap itu, mungkin sebab sayang orang lain lebih daripada sayang diri sendiri. Mana kamu tahu. Kan?
"Semua perkara bermula dengan niat. Kan?"
Jadi, aku pun kurang pasti apa yang aku tulis. Mungkin sebab lapar tidak bermakan malam semalam.
*grrooooih..(bunyi perut)*
Ada sesiapa yang rasa tidak hipokrit dan hormat mahu belanja aku makan?
*garu kepala*
Friday, 31 October 2008
- K o s o n g ? -
Kosong.
Sejak dua menjak ini hidup terasa kosong.Atau mungkin cuma sejak beberapa puluhan minit yang lalu.
Aku rasa macam perlu diisi sesuatu. Yang aku sendiri tidak sedar apa.
Saat tenung monitor komputer rasa melayang. Tugasan yang dikerjakan rasa langsung tidak berkepentingan.
Aku sedar orang lain penuh berisi hidup mereka. Ada orang sibuk cerita hidup orang lain. Buat apa?
Tapi buat apa mahu tengok hidup orang. Hidup aku sendiri masih kekosongan.
Bukan tengok hidup orang hidup kamu bisa diisi. Asyik sibuk jaga tepi kain orang, kain kamu sendiri lompong di bahagian punggung. Rabak. Bocor.
*oh, bukan*
*Itu cuma kain hijau aku yang lompong. Maaf.*
Kerja aku kerjakan terhenti. Mungkin sudah sejak 20 minit yang lalu. Akal terasa sangat kosong, jiwa rasa kosong.
Lukisan cuma separa siap atas meja. Buntu.
Terasa kosong benar.
Perut aku.
Nasib baik ada Indo Mie, mee segera. Pengubat selera remaja di Australia.
Hanya 2 minit pengubat kekosongan.
Mahu cuba?
Monday, 20 October 2008
b o l e h ?
Al Fatihah buat Sara Aziz.
(yang hanya sempat aku kenal kerja-kerja fotografinya di Flickr)
Terlampau banyak kisah orang datang dan pergi.
Aku dengar dalam belum hampir sebulan Syawal ini.
Walaupun tidak aku kenali atau mungkin tiada hubungan langsung dengan diri aku, aku harap sama-sama kita sedekah kan Al-Fatihah buat mereka.
Supaya Tuhan meletak mereka di kalangan orang-orang yang Dia redhai.
Dan mungkin kalau sampai suatu hari giliran aku. Jangan pula lupa sedekahkan Al-Fatihah, ya?
Aku demand dengan lawatan ke kuburan aku setiap kali Hari Raya. Boleh?
Tak perlu bawa siraman bunga kasih-sayang. Cuma melawat. Boleh?
Nanti aku bagi alamat.
Bukan sekarang.
Nanti.
*sengih*
Tuesday, 7 October 2008
Selamat Hari Raya Aidilfitri

Saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca Box to Box atau cuma lalu dan jenguk-jenguk sahaja.
Semoga sama-sama kita penuhkan undangan ke rumah-rumah terbuka kerana siapa tahu, mungkin nanti bila kita pula akan ke alam barzakh, akan ada yang sudi menziarah, menyembahyangkan dan membawa jenazah kita.
*kan?*
*amin...*
Sunday, 28 September 2008
- 3 H a r i S e b e l u m R a y a -
8.00 pagi, 28 September.
Aku garu kepala. Kesat-kesat mata yang tidak gatal.
Lagi 3 hari nak raya rupanya. Patutlah macam tak percaya sahaja. Rasa macam minggu lepas baru mula puasa.
Patutnya secara norma masyarakat Melayu, aku sudah duduk di kampung saat dan ketika ini. Mungkin dalam pukul 8.00 pagi belum bangun lagi.
Tapi yang penting, aku sudah tidur atas lantai papan serambi kampung nenek, sambil beralaskan toto lusuh buatan Korea, selimut separa tebal dan bantal buatan tangan nenek. Sepatutnya saat ini, tatkala(langsung tiada kaitan dengan kuih tat) aku yang sibuk memenuhkan jadual waktu tidur 8 jam sehari akan dikejutkan oleh hentakan kaki yang kuat, berdentam-dentum atas lantai papan serambi itu.
Sepatutnya, saat ini, badan kecil tapi sedikit tough, separa cute ini sudah diduduki oleh adik-adik sepupu hingusan saat aku masih dibuai mimpi.
Dan sepatutnya, saat ini, mak, atau nenek, atau mak-mak saudara sudah memanggil nama aku atau sepupu aku untuk keluar ke pasar membeli barang dapur untuk berbuka.
Sepatutnya, aku yang sedang membuat headlock atau mungkin suplex kepada adik-adik sepupu yang duduk atas perut aku saat aku tidur tadi akan terus bangun dan mengemas toto lusuh buatan Korea itu sebelum aku pula di suplex atau chokeslam oleh emak-emak saudara kerana tidak mengemas tempat tidur.
8.00 pagi, 28 September.
Tapi, saat aku bangun. Aku hanya mendengar suara-suara lelaki yang memanggil sahur.
Juga tiada toto lusuh buatan Korea tetapi hanya ada tilam berspring nyaris sejengkal, sebuah sleeping bag yang sudah koyak tepi dan bantal yang sudah lembik.
Atau tidak mungkin housemate aku akan duduk atas perut aku seperti adik-adik sepupu aku saat aku tidur. Sudah pasti aku akan rasa berdebar-debar atau cuak atau hanya melempang spontan.
Dan tiada suara-suara yang memanggil menyuruh membeli barang dapur untuk berbuka, kerana aku sendiri terpaksa membeli kerana giliran memasak hari ni.
Aku pun berkata dalam hati.
*Seronoknya beraya di perantauan*
*Sambil mengesat lelehan hingus sisa selsema 2 minggu lepas*
Siapa kata air mata?
*Hingus je la.*
*Betul*
*Bulan puasa, takkan nak menipu.*
Tuesday, 23 September 2008
r a y a - d a v e - h i l l - e f f e c t . j p g
Friday, 12 September 2008
r o w - a - b o a t . j p g
Sunday, 7 September 2008
b u l a n p u a s a & c h u b b y ?
Mereka kata aku semakin chubby. Aku rasa tidak. Lebih kepada semakin healthy.Sebab aku memang selalu underweight di Malaysia. Tapi aku langsung tidak pernah memasuki mana-mana pertandingan tinju featherweight atau heavyweight, sebab aku hanya underweight.
Jadi sekarang ni bulan Ramadhan. Puasa. Sinonim dengan kurang makan dan minum. Sepatutnya.
Jadi mungkin ini peluang aku mahu slim-kan sikit pipi aku yang semakin naik. Hanya pipi, yang perut, tangan atau kaki masih kekal tegap seperti dulu. Tiada langsung lebihan daging atau lemak kental .
*oh, ada sikit di perut. Sikit je. Betul*
*bulan puasa langsung tidak sanggup aku menipu*
Jadi secara teori dan logik akalnya, berpuasa di perantauan langsung jauh daripada tempat yang kamu selalu buang masa cari makanan banyak-banyak itu. Bazaar Ramadhan.
Yang aku juga turut buang masa kalau ada di Malaysia. Whatever.
Masak sendiri. Jadi teori manusia student, makanya satu hidangan sudah memadai. Jadi satu hidangan menunjukkan peratus-pengurangan-ambilan-makanan-berlebihan akan meningkat.
Jadi hari berbuka pertama. Kebab sayur dan tuna. Positif. Nampak peratusan itu semakin meningkat.
Jadi hari berbuka kedua. Nasi goreng dengan sedikit ayam. Positif. Peratusan semakin meningkat.
Jadi hari berbuka ketiga. Bihun goreng dan kentang. Awesome. Peratusan semakin meningkat lagi.
Jadi hari berbuka keempat. Pasta baked. Super-duper extra cheese. *erk?*
Jadi hari berbuka kelima. Nasi lemak ayam goreng. Super-duper extra santan. *huh?*
Jadi hari berbuka keenam. Buka di masjid. Iftar beramai-ramai. Nasi beriyani, ayam tandoori, pizza, ayam kurma, lasagna, kek kelapa, bla...bla...bla...*hah?*
Jadi hari berbuka ketujuh. Buka di rumah Kak Rima. Iftar beramai-ramai. Nasi beriyani, ayam masak merah, ayam masak kicap, kek coklat, badak berendam, karipap, bla...bla...bla...*uik?*
*mencubit lebihan lemak di perut dan pipi*
Mungkin lebihan ini akan dipaksa membesar lagi.
Mungkin.
Tuesday, 2 September 2008
s i - k e c i l & m e r d e k a
"Ayah, apa itu merdeka?"
Si kecil membulatkan mata, bereaksi comel dengan harapan mendapat jawapan yang diingini. Si ayah garu-garu kepala. Pura-pura melambatkan jawapan, dengan harapan si kecil putus asa dan pergi.
"Ayah, apa itu merdeka?"
Kali ini diulang dengan sedikit tarikan perlahan pada baju si ayah. Si ayah lelah. Tidak mahu menghampakan harapan si kecil. Berdehem. Menghilang sedikit kahak bersisa di anak tekak.
"Si kecil. Merdeka itu maksudnya kita bebas daripada tangan penjajah. 31 Ogos 1957. Itu tarikh kemerdekaan kita daripada tangan penjajah."
Si kecil berkerut-kerut dahi. Cuba mencerna setiap patah perkataan dan informasi. Si ayah menyambung lagi. Dengan tersenyum.
"Merdeka. Bukan bererti negara kita sahaja merdeka daripada penjajah, bebas daripada cengkaman Jepun, bebas daripada cengkaman British. Tapi pemikiran kita juga perlu bebas daripada penjajah. Merdeka diri dan minda."
Si ayah menghulurkan tangan mengusap-usap rambut hitam si kecil. Si kecil masih lagi berkerut-kerut mencerna setiap patah perkataan dan informasi. Sedikit confuse masih terlihat pada riak wajahnya.
"Apa maksudnya bebas daripada cengkaman penjajah? Merdeka diri dan minda?"
Si kecil bertanya. Si ayah mampu merasakan nada suara yang begitu teruja. Begitu ingin tahu. Hati kecil si ayah tak mungkin mahu menghampakan si kecil yang seorang ini.
"Maksudnya merdeka daripada pemikiran penjajah. Pemikiran orang-orang Barat. Tidak ikut budaya-budaya orang Barat yang memang langsung bercanggah dengan adat dan budaya kita."
Si kecil bertanya lagi.
"Maksudnya kita tak boleh jadi orang barat ke ayah? Tak boleh ikut diorang?"
"Ya, sayang. Orang Barat memang membawa masuk budaya kuning ke negara kita. Tapi jangan kita ikut macam dia." Jawab si ayah. Konfiden. Sambil tersenyum.
"Si kecil faham kan?"
Si kecil diam. Selepas beberapa saat, dia mula menganggukkan kepala. Tanda faham. Si kecil mengorak langkah perlahan-lahan menuju ke kamar tidurnya.
--------------------------------------
Esoknya. 31 Ogos 2008.
"Ayah, ayah"
Si kecil berlari-lari mendapatkan ayahnya. Kegembiraan jelas terlihat di riak wajah.
"Ayah, ayah. Si kecil dah merdeka. Si kecil dah merdeka." Dengan suara sedikit berteriak.
Si ayah kehairanan.
Sambil menarik-narik baju ayah, si kecil mengulang "Ayah, ayah. Si kecil dah merdeka. Si kecil dah merdeka."
Si kecil menarik baju ayah cuba mengajak ke biliknya tanda ingin menunjukkan sesuatu. Si ayah terpinga-pinga. Tapi perlahan-lahan melangkah ke bilik si kecil dengan hujung t-shirt masih dipegang si kecil.
Bila si ayah masuk ke bilik. Ekspresi mukanya berkerut-kerutan dengan peluh dingin mengalir di pipi kanan dekat dengan sisir tepi rambutnya.
Di lantai bilik si kecil, kelihatan budaya kuning Sponge Bob & Squarepant serta Big Bird's Sesame Street berkecaian, dan hampir memenuhi lantai dengan isi 2 anak patung yang dibelinya seperti pasir yang bertaburan di tepi pantai.
Sekaligus menukar persepsi si kecil mengenai merdeka.
Saat si kecil menerima penampar Jepun pada 31hb Ogos.
Yang si kecil ingat sudah lama tiada sejak zaman nenek moyangnya.
Yang pasti si kecil ingat sampai ke tua.
Pasti.
Sunday, 31 August 2008
- m e r d e k a -
Merdeka.
Aku sedar daripada pukul 12.00 malam, 31 Ogos 2008 sudah sambutan hari Merdeka.
Sebab aku bukan di negara sendiri tidak semestinya aku tidak sambut merdeka.
Tapi.
Oleh sebab merdeka membolehkan kita semua hidup aman, damai, demokrasi. Tiada lagi takutkan penjajah dan kebebasan untuk bersuara.
Maka.
Aku memilih untuk tidur.
Sebelum pukul 12.00 tengah malam. Mungkin sebelum 11.30 malam lagi.
Sebab kita sudah merdeka.
Subscribe to:
Posts (Atom)

