Tuesday, 31 March 2009

s a y a - s e b i l a h - p i s a u - t a j a m




Tajam.



Itulah sifat-sifat saya. Saya berwarna oren, tidak besar dan tidak kecil. Sedang-sedang sahaja. Saya mampu mengeluarkan ketajaman saya dan menyimpan kembali. Sesuai dengan ciri-ciri keselamatan SIRIM.


Saya banyak terdapat dikedai-kedai menjual alat-tulis. Terutamanya alat-tulis untuk pelajar seni-bina. Di baju saya tertulis.


"Warning, extremely sharp blade. Handle with care."


Bahasa apa pun saya tidak faham. Maklumlah, saya tidak ke sekolah. Cuma tahu bahasa Melayu sahaja walaupun saya duduk di Australia.


*sigh*


--------------------------------------


Suatu hari.


Ada jejaka tidak tinggi dan tidak rendah, sedang-sedang sahaja macam saya datang membeli saya di kedai alat-tulis. Saya sangat gembira. Dengan senyumannya yang ceria, menampakkan wajahnya separa cute itu.


*blush*


Nasib baik saya masih straight. Kalau tidak mungkin saya akan jatuh cinta.Walaupun saya cuma dilabelkan $1.09, dia masih sanggup memilih saya.

Mungkin inilah saat paling bahagia dalam hidup saya.


*mungkin*


--------------------------------------

Di sebuah studio.


Setelah berapa lama saya di dalam bungkusan kertas putih, saya akhirnya berpeluang berkhidmat untuk tuan baru saya. Dia mengeluarkan saya daripada plastik. Di atas meja saya nampak, kertas-kertas, lukisan-lukisan yang entah apa-apa lagi dan sebuah komputer riba.

Ada sebuah kotak putih jernih. Di dalamnya berisi earphones. Saya pun tidak tahu apa itu tetapi nampak seperti tuan saya ingin menjodohkan saya dengan benda itu.


"Saya tidak mahu!!!"
jerit hati saya.


Tapi apakan daya, tuan saya nampak bertegas dengan keputusan ini. Dia merapatkan saya dengan kotak putih jernih itu dan mengeluarkan bilah saya yang bersinar dan tajam.


Saya muram. Suram umpama malam gelap tiada bintang. Bagai pungguk rindukan bulan. Saya pun main sebut sahaja. Kerana kan saya tidak pernah ke sekolah?


Perlahan-lahan tangan lembut tetapi jantan tuan saya digerakkan untuk saya ditemukan dengan kotak-putih-jernih-berisi-earphones itu.


Saya pun terfikir idea. Saya akan cuba melawan juga. Sedaya yang saya boleh.


*bunyi potongan saya pada kotak-putih-jernih-berisi-earphones*


Tuan saya terteriak kecil.


*saya sengih*


--------------------------------------


Saya berjaya melawan dan merobekkan baju tuan saya berharga AUD20 itu.


Tetapi saya salah-faham.


Rupanya earphones itu dijodohkan kepada komputer ribanya. Saya sangat kesal.


Sekarang sudah ada 2 lubang kesan robekan badan saya pada baju tuan saya. Baju hitam lengan panjang yang disukainya.


Saya kesal. Kesal sangat. Seperti sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Saya pun main sebut sahaja yang ini. Kerana kan saya tidak pernah ke sekolah?



Maafkan saya tuan.


Maafkan saya tuan.



*kata saya dalam hati*



*sigh*






Friday, 27 March 2009

- 2 5 t a h u n -



25 tahun.


Tahun ini aku sedar aku akan masuk ke usia ini. Walaupun tarikh lahir aku lambat lagi, tapi tahun kelahiran itu tidak dapat langsung menafikan peningkatan usia aku.

Kalau orang kata aku nampak muda. Ya, masih muda pada usia ini. *ehem* Tapi cukup buat aku sedar zaman aku sudah lama berlalu saat tiada lagi budak-budak sekolah sekarang yang tahu cerita Gaban.


Iye, Gaban. Yang mampu menyeru naga seperti memanggil teksi.


Yang umur baya aku, kamu jangan pura-pura lupa. Atau mungkin kamu memang tak minat Gaban.


*oh, yang benar-benar tidak tahu, aku assume kamu muda sahaja*


Dah tentu bukan kamu bekas rakan sekuliah aku.


------------------------------------------------


Bulan lepas. Bulan Februari. Bulan dua.


Aku masih lagi di Malaysia. Pulang bercuti musim panas. Ke tempat yang sedia panas tetapi yang paling dekat dalam hati.


*oh sweet-nya*


*whatever*


Iye, aku pergi kursus 3 hari. Jangan tanya kursus apa. Tapi aku sangat-sangat bersyukur dapat pergi. Sebab aku sangat pasti ini bukan kursus-kursus zaman aku sekolah-sekolah dulu. Walaupun secara jujurnya pada awalnya aku memang terpaksa.

Sangat-sangat terpaksa.


Tapi akhirnya sangat-sangat suka.


*betul, aku tak tipu*


Oh, tapi bukan kursus kahwin. Kalau kursus kahwin, itu aku sangat-sangat suka dan kamu kali dengan tiga. Jawapannya kamu darab dengan tiga lagi. Dan sebut jawapannya tiga kali ulang-ulang.



------------------------------------------------


Bulan lepas juga adik sepupu aku pergi ke kursus yang sama. Dan dia baru 17 tahun. Aku hantar dia pergi dan pulang ke Shah Alam untuk 2 hari. Pagi ke petang.


Jadi, di lobi tempat aku santai. Lepak. Termenung. Lobi Hotel Concorde.


Saat aku duduk santai atas set sofa nampak lusuh Hotel Concorde itu, aku rancang mahu lelap mata. Sebab malam sebelum itu mata aku lelap lewat sebab aku pun tidak tahu kenapa. Ada beberapa orang budak sekolah duduk sekali di sofa itu. Tidak apa. Nasib baik lelaki. Kalau anak gadis mungkin aku akan kemerah-merahan seperti ditampar 5 kali di pipi ditambah pula dengan jerawat aku.

Iye, mereka berborak. Dan ya, aku turut dengar. Kerana gaya mereka berborak seperti mereka ingin berborak dengan semua orang dalam lobi itu mungkin. Tidak apa.


Walaupun aku terjaga. Aku langsung tidak marah.

Aku pura-pura lelap mata. Sebab aku memang sudah terjaga pun. Terima kasih juga kepada mereka.


Aku dengar mereka berbual-bual. Pasal shuffle. Shuffle.


Aku tahu shuffle kad. Tapi ini bukan kad. Ini pasal menari shuffle.


Sambil bercerita sambil buat gaya. Iye, aku buka sedikit mata aku mahu lihat. Sebab aku tertanya-tanya.


Sudah sepuluh tahun aku tidak balik ke Malaysia kah?



------------------------------------------------


Hotel Concorde.


Masih menunggu adik sepupu aku selesai kursus. Aku duduk atas lantai karpet lantai merah empuk hotel itu sambil menunggu adik sepupu keluar daripada dewan. Ada seorang budak sekolah sebelah aku. Cuma 15 tahun.


*dan lelaki, kalau gadis kamu tampar pipi aku bagi merah lagi. malu.*


Budak itu teman aku berbual. Iye. Bosan menunggu dalam lobi Hotel Concorde ini daripada 9 pagi sampai 7 malam. Dia pasang lagu daripada telefon bimbitnya.


*bunyi funky. ala-ala disco berkumandang*


Budak itu buka mulut bertanya.


"Kau tahu tak shuffle".


*geleng kepala aku* "Tak tahu, apa tu?"


"Dia tarian. Best jugak la"


*aku dengan kerutan di dahi bukan di perut* "Kau belajar ke tarian tu?"


"Tahu sikit-sikit la. Ada belajar."


Aku pun jadi keliru. Sedikit confuse.


Aku rasa mungkin saat aku duduk di Australia. Masa telah berlalu 3 kali ganda lebih cepat di Malaysia. Sudah tiada lagi kisah Gaban. Yang aku dengar cerita shuffle. Dah tak ada main gasing ke, police sentry ke. At least cerita pasal Ultraman ke.


*uh*


Aku sudah tua.



*sigh*


*sambil membuat gaya memanggil naga Gaban*




Tuesday, 17 March 2009

p e r s e p s i ?



Persepsi.


Langsung tiada kena-mengena dengan Pepsi. Cuma bunyi sahaja hampir serupa. Juga tiada kena-mengena dengan lukisan perspektif yang dilukis oleh pelajar jurusan senibina.


Persepsi.


Cuma tanggapan. Ataupun cuma lintasan perasaan atau fikiran. Lebih-lebih lagi terhadap orang ataupun sesuatu perkara. Samada buruk ataupun tidak, samada baik ataupun tidak. Tapi ini definisi pemahaman aku, kalau definisi dalam kamus, mungkin akan lebih senang kamu rujuk nanti sendiri. Sebab aku tidak mampu bawa Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga dalam bagasi ke Australia kerana beban yang bakal ditanggung oleh Tony Fernandes dengan kapal terbang Air Asia X nya.


Tapi sebab kita ni makhluk Tuhan. Samada paling seksi ataupun tidak. Jadi tidak akan lari daripada kesilapan dan keburukan.


Aku ingat dulu. Saat melihat rupa luaran buat pertama kalinya. Kalau mungkin kulit gelap, rambut berekor halus dan seluar jeans kecil bawah, pasti anggap gaya nampak macam jejaka rempit. Kalau jejaka berpakaian terlebih baju walaupun di Malaysia, pakai topi ala-ala encik Justin TasikTimber, aku pasti anggap dia ini jejaka poyo extra-metroseksualiti kompleks.



*maaf, jangan terasa, itu cuma apa yang aku fikirkan dahulu*


Tapi mungkin aku ambil masa beberapa tahun untuk faham, bahawa itu semua tidak lebih daripada persepsi yang aku lontarkan terus daripada hati aku saat sinaps mata aku pantas menangkap imej-imej manusia seperti yang digambarkan. Lalu akal pendek aku mentafsir. Yang aku sedar, persepsi itu langsung serong.


Dan secara nyatanya, aku berpersepsi bahawa dengan imej yang sedemikian rupa, sudah cukup serta-merta kita melabelkan orang secara tidak sedar dalam hati kita. Yang bagi aku, baru perasan bahawa itu salah-satu asbab tetapi bukan Ahmad Albab, yang menutup hati daripada dekat dengan Tuhan.


Tapi, aku bukan mahu bagi ceramah agama. Aku cuma mahu kongsi apa yang aku rasa.


Sebab aku rasa, selapang-lapang hati itu adalah kita tidak berpersepsi langsung dengan sesiapa. Orang yang kita kenal mahupun tidak. Yang memang buruk perangai mahupun yang semulia akhlak. Apatah lagi berpersepsi dengan Tuhan mahupun kekasih-Nya.


Aku rasa sahaja.


Aku cuba untuk tidak berpersepsi mahupun minum Pepsi. Tidak baik untuk kesihatan. Jadi saat-saat aku leka dan terbuat juga, kamu tegur-tegur aku dengan kata-kata. Sebab aku tidak tahan penampar, sakit.


Tapi kalau aku terminum Pepsi, cukup sekadar bayarkan harganya sahaja.


*boleh?*



Thursday, 5 March 2009

- ? -




Bila sudah lama aku tidak sentuh
keyboard untuk menulis.


Rasa kosong pula. Malaysia buat aku melayang jauh. Sangat rindu dan lemas.


Aku kira semakin kurang patah-patah perkataan yang muncul atas skrin.


Kurang.


Kuran...


K...


*jadi baik aku tidur dahulu*

Monday, 26 January 2009

S a y a - s e b i j i - b o l a - m a t a - k a n a n.




Saya sebiji mata.


Sebiji bola mata kanan.


Saya dianugerahkan sebuah kawan iaitu mata kiri. Kami dianugerahkan kepada tuan yang agak cute tapi kurang hensem ini.


Setiap hari kerja kami melihat kawasan sekitar tempat didiami tuan kami serta menatap skrin komputer.


Kami sering melihat permainan komputer ataupun movies.


Tapi tuan kami juga sering membawa kami berjalan-jalan.

Kami selalu melihat manusia, ataupun homosapien berjalan-jalan di bandar mahupun di pantai ataupun cuma di kedai depan rumah.

Kelebihan tuan saya, dia gemar menggunakan saya untuk melihat benda-benda yang indah dan cantik.


Lebih-lebih lagi kalau manusia yang cantik.


Kadang-kadang bola mata saya ditujukan kepada muka. Kemudian.....


*ah, malu saya untuk menceritakannya*


*hikhikhik, gelak saya keseorangan*


Tapi jarang saya berkelip. Saya mahu tuan saya menikmati pemandangan itu sepenuhnya. Saya gembira kalau tuan saya gembira.


Suatu hari. Saya bangun pagi sambil mengalirkan air mata dan sedikit kumuhan. Pelik. Tapi, kemudian, saya dengar.


Tuan saya sudah tidak sayang saya lagi.


Katanya, "rasa mahu mengorek saya keluar".



Saya begitu sedih. Sedih yang amat.


Tapi nasib saya baik. Tuan saya rupanya mahu menghadiahkan saya dengan mandian segar.


Saya dibasahkan dengan air yang sejuk dan nyaman setiap 3 jam.


Rupa-rupanya, tidak sia-sia saya berkawan dengan ketumbit.


Sekarang tuan lebih menyayangi saya.


Sekarang saya sudah lebih disayangi daripada mata kiri.




*Senyum.*






Terima kasih ketumbit.






Tuesday, 16 December 2008

- b a s a h -




Kesat. Mengesat mata yang berpisat-pisat.


Terkebil-kebil.


Aku duduk kaki melujur atas tilam nipis kurang sejengkal tanpa cadar.


"Damn"


Basah. 



Ini yang paling aku tak suka kalau bangun tidur basah.


Kalau bantal basah dengan peta rekaan itu aku faham. Aku masih boleh pura-pura menghirup sisa-sisa yang masih melekat pada tepi bibir. Walaupun tidak semanis menanam tebu di pinggir bibir, tapi tidak mengapa.


Tapi basah yang ini sukar sikit.



Leceh.



Mesti ramai orang tidak suka. Malas. Penat. Letih.


Sambil jari memegang bahagian basah itu.


Mengesat-ngesat pangkal.




Pangkal yang masih basah.




Pangkal hidung.




*oh!*




Yang tidak berhenti mengalir sejak beberapa hari lepas.




Oh, lecehnya. 




*selsema*




*mengeluh sambil mengesat-ngesat hidung*





Friday, 12 December 2008

j a g a h a t i (episode 1)




Aku kurang pasti. Aku tidak tahu samada betul atau salah.


Aku kalau seboleh-boleh mahu jaga hati setiap orang. Yang aku kenal, yang tidak kenal mahupun yang tidak mahu mengenali aku. Apatah lagi hati ibubapa atau darah kandung sendiri.

Dalam kepala otak akal dangkal, skeleton kepala keras menulang ini, aku sering fikir senang sebenarnya nak jaga hati orang. Orang ramai sekeliling kita. Tidak kisah samada ko ikhlas mahu jaga hati atau tidak, sekurang-kurangnya kau tahu jaga. 

Dari kamu kecil, congak sendiri berapa umur. Kalau rahsia, tidak mengapa. Congak senyap-senya umur kamu. Berapa banyak kali kamu cuba jaga hati orang disekeliling. Atau senang dan mudah kisah, jaga hati manusia-homosapien-makhluk tuhan-khalifah muka bumi.

Susah kan?Mana ada orang kira atau congak bilangan mereka menjaga hati orang lain. Siapa suruh kamu congak? Kan sudah terkena.


Mungkin. Mungkin daripada kecil sehingga dewasa. Kamu jaga hati ibubapa, kawan-kawan, adik-beradik, cikgu, sesiapa sahaja. Tapi atas dasar apa? Atas tatacara adab atau mungkin ethics yang kamu belajar? 


Mana aku tahu? Aku cuma cetuskan supaya kamu terfikir.


Aku cuma tahu diri sendiri. Aku belajar adab dan tatacara. Adab orang melayu. Adab agama. Bagi aku adab yang bezakan kita dengan makhluk Tuhan yang lain. Adab yang juga mendefinisikan akhlak. Aku rasa. Aku rasa sahaja. Jangan kata aku yang buat definisi itu. Sebab lain orang, lain ajaran adabnya. Ada yang lebih ada yang terkurang.


Susah. Siapa kata senang jaga hati orang lain. Sebab kalau kamu seorang sahaja jaga hati orang, kadang-kadang orang lain mana pernah mahu ambil tahu isi hati kamu? Kan buang masa? Buang keringat, buang tabiat, buang air. Tapi buang air wajib. Kalau tahan merbahaya. Boleh menyusahkan orang awam dengan bau yang diperam lama. 


Aku lepaskan bab jaga hati dengan ibubapa. Sebab bagi aku itu wajib. Atas dasar hormat. Atas dasar respect. 


Tapi jaga hati rakan-rakan. Bukan senang. Kalau kawan beribu. Macam mana? Ada seribu isi hati?Kamu yakin mampu jaga semua? Aku kalau bagi seratus pun aku belum mampu. Tapi aku boleh cuba. Sekurang-kurangnya aku cuba. 


Bagi aku, biar orang tidak jaga hati kita, tapi sekurang-kurangnya kita buat tugas kita. Biar sekurang-kurangnya kita rasa lega. Kita buat apa yang kita rasa betul.  Kan?


Kalau tak betul pun sila jaga hati aku. Ok?


Jadi, apa lagi. 


Kalau aku pulang ke Malaysia, bisa belanja aku minum teh o ais limau segelas-dua?


Boleh?



Tak nak jaga hati aku ke?



*mata bersinar-sinar*








Saturday, 6 December 2008

i n t e r m i s s i o n (maaf, aku cuba cari masa lagi lapang untuk tulis lagi panjang)




Aku sangat pasti satu pepatah.


Tiba-tiba aku terdetik sejak beberapa minit yang lalu. Yang berkait dengan peristiwa beberapa puluhan minit sebelum itu pula.


" Tempat jatuh lagikan dikenang, inikan pula kampung halaman "


Pepatah mudah, kalau dah jatuh,..... sakit. Jadi pasti orang ingat, jatuh tangga. Jatuh bukit. Ataupun mungkin cuma jatuh hati. Tidak kisah juga apa jenis jatuh. Jatuh tersungkur, jatuh terlentang, jatuh terduduk.

Aku pasti relevan sangat pepatah ini.


Saat aku terkenang kampung halaman.


Dalam beberapa hari yang lepas. Saat aku masih berada di Brisbane.


Dan aku pasti terkenang akan Gold Coast.


Saat aku terjatuh.


Selipar putus. Tangan luka.


Oh, Gold Coast.


*sakit*




*adeh!*



Tuesday, 2 December 2008

K e l i p ?



Saat aku buka kelip mata ku.

Bukan suasana norma kantung hidupku.

Bukan lokasi asal tapak lelap mata ku.

Rupa-rupanya aku dalam percutiaan.


*anda bila lagi?*


*wink, wink*



Thursday, 20 November 2008

- b o s a n ? - (dari iMac pinjaman)




Bosan.


Bosan ini seperti penyakit. Tak sakit tapi tak sihat jua. 


Bosan ini seperti sindrom. Berjangkit tapi tak berbahaya.


Kadang-kadang rasa seperti ingin melempang anak jiran sebelah. Tapi apakan daya, tangan bapanya sahaja sudah besar paha.


Bosan bisa menular. Tapi dari akal ke urat kaki sahaja. Langsung tiada kaitan menular dengan ular.


Bosan laksana kentut. Dipendam perit. Dilepas perlu.


Bosan kadang terasa seronok, tapi kalau dah bosan mana ada seronok.


Bosan kadang rasa perit. Rasa meminum jus pegaga. Tapi itu pahit.


Bosan laksana keyboard. Tidak ditaip tidak keluar huruf.


Kan dah keluar seberapa patah huruf ini.


Siapa kata aku bosan.


Takkanla duduk rumah bosan.


Kan?


*ceh*