Monday, 15 April 2019

- s e j a k 2 0 1 4 -

Bismillah. Dengan nama Allah. Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

Sekadar mengetuk ruangan alam maya yang sudah lama dibiar bersawang sambil meniup debu-debu atas idea-idea di benak fikiran. Mungkin dalam umur yang mencecah 30-an terlampau banyak dalam alam realiti yang perlu difikirkan sehingga terlupa berkhayal dan menyatakan khayalan dalam penulisan.

Ini bukan dalam sengaja ingin menukilkan ayat-ayat yang acah-acah "bombastik", cuma sekadar cubaan "warm up" jari-jemari dan kepala otak.

Ini diari episod satu. Dalam tahun 2019. Diari makhluk Tuhan paling mediokre. Self-nominated.

Mungkin aku rasa, faktor usia menyedarkan aku bahawa hidup ini semakin meningkat semakin nampak mediocrity-nya. Hidup sudah baru, pekerjaan baru, rumah baru, kereta sedikit baru......baiki hari itu, tetapi masih rasa ditakuk yang sama. Setiap kali aku mula menawaitu kan cita-cita, aku sedar usaha aku tidak ke mana. Aku tidak pernah salahkan takdir, malah aku tidak pernah salahkan maksud mediokre itu sendiri.

Masyarakat memandang mediokre itu rendah. Tergantung kepada golongan mana tempat kau bergaul. Kalau kau bergaul dalam kumpulan high-achiever; mediocrity kau dan rasa rendah diri kau berjalan berpegang tangan sambil melihat matahari terbenam di tepi pantai. Kau akan terdetik walaupun cuma sekelumit, "Apa yang aku dah buat selama ni?".Kalau kau bergaul dengan golongan muda yang bersemangat tinggi; mediocrity kau masih lagi teman setia rasa rendah diri sambil berjalan menonton wayang cerita cinta.

Jadi, buruk benar ke kalau kau hidupnya mediokre. Bukan muka buruk. Kalau muka buruk, aku tidak boleh komen apa. Itu ciptaan Tuhan. Yang dimaksudkan adalah ketentuan meningkatnya umur mesti seiring dengan jawatan atau harta? Matematik generasi milenia.

Entah, aku cuba buka soalan ini tanpa penutup. Aku sendiri sentiasa cuba meyakinkan diri bahawa, setiap manusia rezekinya berbeza-beza. Cepat dan lambat tergantung pada usaha dan aturan Tuhan. Asalkan kamu jangan mengeluh dan terus berusaha. Jangan jemu-jemu, walaupun dari fizikal nampak seperti lambat.

Sebab biar mediokre pada mata manusia tapi bukan mediokre dihadapan Tuhan.



Ewah.



Sembang kencang, kadang-kadang kereta pun boleh terbang. Kereta buatan Malaysia. Kau jangan tidak percaya pula.


Ok, selamat malam!