Thursday, 30 April 2009

n y a h - b e k u a n ?




Aku ambil keluar ayam daripada peti sejuk. Atau peti ais. Tapi tiada ais. Jadi aku cuma cakap peti sejuk sahaja.



*keras*


Plastik bertulis Steggles, warna biru putih itu aku bawa ke sinki. Ambil mangkuk besar, buka pili air panas.


*berasap-asap sedikit*


Ayam, yang tadi keras mula lembut perlahan-lahan dengan tindakan kimia antara ayam beku dan air panas yang dinamakan defrost.




Penyah-bekuan.






"......................................."







Begitulah perasaan kaki dan tangan aku saat dilalukan di bawah curahan air shower suam-suam panas.



Macam ayam. Ayam beku.



Defrost. Penyah-bekuan.




*sigh*




Bukan mak nyah. Tapi, penyah-bekuaan.




Nampaknya....




*winter semakin hampir*





Monday, 27 April 2009

- r i n d u k u r o t i - W i l a y a h -




1992



*bunyi hon*


Aku yang masih dalam pakaian uniform putih sesuci embun pagi dan seluar biru gelap separa-jerut-getah pinggangnya cukup suka. Cukup suka saat mendengar bunyi hon serak-serak basah mamak penjual roti.

Dengan motorsikal cabuk dan muatan roti beraneka-rasa yang penuh bergantungan di tepi bekas besi separa-lusuh catnya. Melalui setiap unit lorong-lorong separa besar yang bertanda jalan, melewati daripada satu rumah ke satu rumah teres binaan PKNS awal 80-an itu.

Dan aku tahu. Roti kegemaran aku menanti.


Roti krim buatan tempatan. Roti krim Federal.



Roti Wilayah.




------------------------------------



1999


Sejak aku pindah ke Bangi. Sudah makin susah rasanya hendak bertemu dengan mamak jual roti. Bukan roti canai. Tapi jual roti. Tapi bukan roti naan. Tapi jual roti. Lebih spesifik dan manja, Roti Wilayah.


*whatever*


Aku rindu bunyi hon serak-serak basah itu. Rindu bungkusan-bungkusan yang bergantungan di tepi bekas besi separa lusuh itu.


*bunyi hon*

Aku lari. Berlari ke pintu rumah. Terpancar sinar harapan pada diri aku yang kini dalam uniform putih kurang sedikit suci daripada embun pagi dan seluar hitam. Seluar hitam. Ya, aku Pengawas Pusat Sumber. Bukan Pusat Sumber Manusia. Tapi Pusat Sumber Sekolah. Tak tahu? Sila rujuk kepada adik-adik yang masih bersekolah. Dan bershuffle.


*hampa*


Hon lori suratkhabar lama rupanya. Cis. Kenapa pakai hon pula? Tak serak-serak basah langsung.



*cis*



-------------------------------------------


2007


Saat aku kini dalam pakaian tidak uniform. Cuma kemeja lengan panjang kemas berjenama Padini. Separa seksi untuk orang lain yang memakainya. Bukan aku. Aku mungkin cuma sedikit seksi. Itupun cuma di mata makcik penjual kueytiau goreng dekat dengan office.


Iya, sekarang sudah dalam pakaian kerja. Sudah bertahun-tahun berlalu. Saat telah banyak roti lain pengganti Roti Wilayah. Saat aku hampir membuang memori hon serak-serak basah.


Tapi aku bagai tidak percaya. Takdir seolah-seolah mengusik perasaan aku. Aku nampak Roti Wilayah. Masih lagi dalam bungkusan merah, hijau dan kuning yang sama. Masih dalam bentuk dan saiz yang comel. Masih lagi dijual oleh mamak, walaupun cuma atas meja-meja kedai makan sahaja. Walaupun tanpa bunyi hon serak-serak basah.


Atas keterujaan. Aku beli sebungkus. Sebungkus sahaja. Kerana kalau beli 2 bungkus. Aku cakap 2 bungkus. Bukan sebungkus.



*kan?*



-------------------------------------------


15 Minit Kemudian



Cuma 15 minit sahaja. Tak mungkin aku menghabiskan beberapa tahun lagi untuk menikmati Roti Wilayah yang sebungkus tadi. Masih lagi teruja. Sambil aku menghadap komputer. Sambil membuka bungkusan merah Roti Wilayah.


*bunyi plastik*


Rindu mula menerjah dada. Saat aku mulakan gigitan pertama. Saat aku sambung gigitan seterusnya. Saat aku sudah tidak ingat gigitan keberapa. Saat roti Wilayah itu pun sudah hampir separuh di ratah.


Saat aku berhenti bila tergigit benda rangup.Benda rangup dalam roti. Dalam roti Wilayah.


*perasa baru?*



Saat mulut aku terlopong melihat bekas telur lipas yang sudah separa hilang kerana sudah habis diratah tadi.


*perasa baru??*


Rindu mula hilang pada roti Wilayah.



Saat aku meluahkan isi roti yang dikunyah dalam mulut dan berkumur-kumur dengan air mineral beberapa kali.



Saat aku melemparkan sisa separuh lagi roti Wilayah ke dalam bakul sampah berdekatan.




Saat aku memaki-hamun separa dalam hati dan separa di mulut.




*selamat tinggal roti Wilayah*






*cis*









Sunday, 19 April 2009

- p e s a n a y a h ? -




Si ayah pesan. Selalu selepas solat. Selalu selepas bacaan ayat-ayat Al-Quran, yang tersekat-sekat daripada mulut si kecil.



Si kecil sangat ingat. Padat dalam otak, tapi, akal mentahnya masih kurang mampu untuk mengingat bait-bait ayat pesanan itu.



"Jangan lupa hafal makna surah Al-Fatihah ya?"



Ayah tidak pernah pesan kenapa. Ayah cuma ucapkan lafaz singkat itu sahaja. Dia pun tidak pernah tanya kenapa. Dengan senyuman yang selalu buat si kecil sejuk, tetapi pesan itu terus mengewap keluar daripada benak akalnya. Akal anak-anak kecil sebayanya. Yang mana kehidupan seorang kanak-kanak lebih penting daripada segalanya.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


5 tahun berlalu. Yang umurnya sepuluh tahun dahulu, telah berlipat-ganda.


Si ayah masih tidak pernah putus pesanan. Masih petah mulut bicara pesanan yang sama. Kali ini pada akal yang sudah sepatutnya selipat-ganda.



"Ingat selalu makna surah Al-Fatihah ya? Ingat dan hayati."



Mungkin kali ini bait-bait ayat sudah tidak sama. Ayah masih tidak pesan kenapa. Ada jarak waktu yang bisa ubah struktur ayat yang keluar daripada mulut ayah. Tapi yang pasti, senyuman tidak pernah lekang daripada wajah ayah. Si kecil diam. Kini, bukan lagi akal anak-anak kecil. Malah sudah lebih 5 tahun dewasa daripada dahulu.


Tapi kerana awal remaja, pesanan itu menyejat keluar daripada benak fikiran. Rakan-rakan lebih penting. Mengenal bahagian seronok dunia baru bermula.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


Kali ini, 10 tahun. 10 tahun berlalu. Masa berlalu lagi berlipat-ganda.


Pesanan masih sama daripada mulut ayah. Kali ini jarang-jarang dengar. Sebab, jumpa ayah juga jarang-jarang. Maklumlah, si kecil sudah belajar jauh. Jauh daripada rumah. Walaupun masih berpijak atas tanah negara yang sama.



"Jangan lupa, jangan tinggal solat. Ingat dan hayati selalu makna surah."



Kadang tidak sempat habis, sudah perlu letak gagang. Pesanan ayah di corong telefon. Mungkin masih sambil mengukir senyuman. Tetapi, si kecil tidak ambil tahu. Terlampau ramai rakan-rakan dan hiburan-hiburan dunia yang baru dikenali. Malah, masih pula ada si gadis yang baru menjadi pengisi hati.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


1 tahun. Cuma setahun sahaja berlalu. Masa masih juga berlalu berlipat-ganda.


Pesan ayah masih sama. Walaupun saat si kecil tengah memegang botol-botol air nista, sambil tangan galak memegang gadis-gadis yang langsung bukan halal hubungannya. Walau ayah jauh cuma beberapa puluhan kilometer.



"Jangan lupa, jangan tinggal solat. Solat itu membentuk asas kita. Ingat dan hayati selalu makna surah Al-Fatihah."


Kali ini. Pesanan sangat sayup-sayup terdengar. Hanya ada tempias lagu-lagu kuat di udara. Suara ayah dalam salur telefon, antara dengar dengan tidak. Hanya ada gelak-tawa si jantung hati, memeluk erat pinggangnya. Suara ayah dalam salur telefon, antara dengar dengan tidak.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


Kali ini.


Cuma 1 bulan. 1 bulan berlalu. Masa berlalu lagi berlipat-ganda.


Atas lantai, separa hangat. Bunyi lagu masih lagi bingit. Tangan masih lagi memegang air-air nista.


Cuma kali ini. Bunyi lagu sudah semakin sayup. Air-air nista dalam gelas, sedang berlimpahan atas lantai. Si gadis, si jantung hati, menggoncang-goncang badan si kecil. Saat mata si kecil semakin redup. Saat dia sedar ajal datang walaupun dia tidak menjemput.


Kali ini pesan ayah masih sama. Cuma kali ini bukan daripada corong telefon. Bukan daripada mulut ayah saat dia pulang bercuti di kampung. Kali ini, semuanya dalam lintasan memori akalnya. Saat tubuh semakin dingin.


Kali ini dia baru teringat sebab apa pesan itu.


Kali ini baru dia terlintas maksud ayat surah Al-Fatihah yang sentiasa diingatkan oleh ayah dengan wajah tersenyum. Redup. Tapi punya ketegasan dalamnya.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.


Segala puji bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam.


Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.


Pemilik Hari Pembalasan.


Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah tempat kami meminta pertolongan.


Tunjukkan kami jalan yang lurus.


Jalan orang yang Engkau berikan nikmat kepadanya;


Bukan jalan orang-orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan-jalan mereka yang sesat.




"Hafal dan hayati. Itulah doa kita setiap hari dalam solat. Yang kita minta hampir 17 kali dalam solat 5 waktu. Kalau kita benar-benar hayati. Minta Tuhan beri kita petunjuk."


Tiba-tiba terngiang-ngiang ayat itu. Itu pesanan ayah, sejak kecil. Bukan kerana si kecil rasa ayah tidak pernah jelaskan. Cuma akalnya sentiasa ditumpangi dunia. Cuma akalnya rasa, masih punya banyak masa lagi.


Saat dia hembus nafas terakhir. Atas lantai kelab. Dikerumuni ramai insan seagamanya. Dengan basahan air nista atas pakaiannya.




Sejuk.




Saat melihat senyuman ayah.




Saat tertutup matanya.



Dalam kekeluan lidah daripada berbicara kata syahadah.



*mata terpejam*

















"Pap"



Pijar pipi si kecil. Bekas tamparan tangan ayah masih lagi terasa.


"Orang ajar mengaji, kau tidur pula!" cakap ayah sedikit keras.


Hilang senyuman ayah dalam bayangan si kecil.


Dan si kecil masih lagi berumur 10 tahun. Masih lagi dalam tersekat-sekat bacaan ayat-ayat Al-Qurannya.



*teresak-esak*


*Sambil mengesat air mata.*





Tapi, dia sedar.





Sekurang-kurangnya, dia masih punya masa untuk Al-Fatihah.







Monday, 13 April 2009

b u a n g m a s a (1) ?




Pandang.



Kepala dia rasa ding-dong. Berpusing. Nyaris ada bintang-bintang berputar atas kepala.


"Tak nampak jalan ke!!" herdik dia.


Aku minta maaf berkali-kali, dengan tangan spontan di udara dan kepala tertunduk-tunduk gaya ajaran nenek-moyang jepun dalam drama TV.



Diam.Dia diam seketika. Menghela nafas untuk sesi mengherdik kali kedua barangkali.


Aku sudah mula menunduk-nunduk lagi kepala. Kali ini dengan kecepatan lebih 0.1 saat daripada sebelum itu.




*uh*




Oh.




Situasi di atas langsung tiada kena-mengena dengan apa yang hendak ditulis. Aku cuma memanaskan akal yang sarat dengan isi fikiran. Aku sekadar ingin sampaikan satu mesej.




"Tidak semestinya apa yang kita harapkan kita akan dapat."




Maaf. Sekian.




Saturday, 4 April 2009

- p u k u l 2 . 0 0 p a g i -



Pukul 2.00 pagi.



Aku selak-selak lembaran buku "New Urban Housing" sambil cuba memahami isi penting daripada tulisan sederhana besar itu. Sekali-sekala aku gerakkan jari menekan punat-punat keyboard.


*kusut*


Sangat kusut. Aku tidak pernah sedar buku-buku pasal senibina penuh dengan ayat-ayat bombastic separa sastera ini.


*darn it*


Aku klik ikon kesayangan mozilla firefox. Taip youtube. Saja mahu lepas tekanan, mana tahu ada video-video lucu yang mencuit hati.


Dan iye, video ini.






Shuffle? Untuk hari ko-kurikulum sekolah.


Sudah jadi ko-kurikulum rupanya benda ini. Patut la budak-budak sekarang sibuk cerita pasal benda ini.Dan rupanya, inilah yang dinamakan shuffle.


*oh*



Dan research aku masih lagi tinggal 2500 patah perkataan yang perlu dihantar untuk minggu depan.



*hurm?*



Mungkin aku perlu shuffle untuk melegakan tekanan sambil berhibur.



*huh?*