Tuesday, 22 December 2009

- s e b u a h l i f -

Aku tidak tahu kenapa. Atas dasar conscious akan masalah generasi muda yang semakin kurang mengikut cakap orang tua. Atau atas rapuhnya pegangan generasi muda pada prinsip dan kepentingan. Atau atas dasar keriangan hati sendiri yang melampaui tahap kesedaran diri.


Atau....cuma tindakan luar kawal.


---------------------------------------


Aku park kereta setelah puas bermain-main pusing-pusing dalam tempat meletak kenderaan sebuah gedung membeli-sekali-poket-tergadai di Putrajaya. Bertemankan rakan-rakan kelelakian, berjalan menuju ke lobi yang mengandungi lif-lif naik dan turun.


Bila lif sampai. Sudah separa penuh.


Masuk juga, bertiga tambah separa penuh, baru separa penuh bertiga tambahan, whatever.


Ada seorang budak. Lelaki. Mungkin dalam umur lingkungan 9-12 tahun. Mana aku tahu. Bukan aku yang buatkan kad pengenalan budak tersebut. Dia tercegat mendongak ke arah-arah butang-butang tingkat dalam lif.


"Tekan tingkat 1". Aku dengar sayup-sayup suara lelaki garau, memberi arahan. Budak lelaki itu perlahan-lahan menghulur tangan ke arah butang tingkat 1.


Aku dengan pantas berkata. "Jangan"


Budak itu teragak-agak. Tidak jadi menekan.


Sekali lagi. Aku dengar ulangan arahan. "Tekan tingkat 1". Budak itu kembali menghulur tangan ke arah butang tingkat 1. Kali ini agak ragu-ragu.


Aku sekali lagi berkata." Jangan" Dengan nada spontan, sedikit macho, mungkin ada serak-serak basah, antara keluar dan tidak. Cukup untuk sampai ke telinga budak tersebut.


Sekali lagi. Budak tersebut ragu-ragu. Tidak jadi menekan.


Sehingga kali yang ketiga. Baru lah butang tingkat satu menyala dengan lampu merah suam-suam kuku.


Aku pusing belakang.



Oh, bapa budak tersebut rupanya. Patut la memandang dengan tenungan ingin menggigit manja pada tengkorak saya.

------------------------------------------------

Jadi.


Aku berpendapat, penekanan tatacara mengikut arahan ibu bapa amat penting dari kanak-kanak.


Sedangkan menekan butang tingkat dalam lif pun sudah teragak-teragak, apakan pula masa menghadap tok kadi.


Kan?




Saturday, 7 November 2009

-k e h i d u p a n p e k e r j a m a k a n g a j i & n a s i -



Story of my life.


Pung, pang, pung pang. Tup tap, tup tap. Effect fast forward. Maklumlah, mana ada cerita drama bersiri tunjuk satu episod, satu hari kan? Alhamdulillah, saya dah dapat kerja. Sudah selesai konvo minggu lepas, lepas.


Rumit. Sudah kerja. Bangun pagi, memandu ke pejabat berseorangan, pulang juga berseorangan. Oh, single rupanya saya. Patut la pun.


Jadi hari pertama, untuk mengelak bercakap dengan stereng dan membuat lontaran suara tanpa asas Do Re Mi, maka terus ke terpekik, terlalak, saya ajak teman sepejabat bercar-pool. Tapi kereta saya tiada swimming pool. Iye, adik-adik, car-pool langsung tidak bermaksud kereta Perodua Kelisa buatan Malaysia meletakkan spesifikasi kolam renang dalam kereta 1.0 tersebut, tetapi dalam erti kata kempen Malaysia yang tidak jadi, iaitu berkongsi kereta ke pejabat.


Jadi, dari Bangi. Logik mantiknya, KL-Seremban. Lebuhraya. Ke Klang Lama.


Tol Sg.Besi adalah suatu laluan berhalang yang bukan sahaja tidak boleh dielakkan, malah mengorbankan banyak nilai matawang ringgit penduduk makan gaji. Rm1.80.

Saya seluk not RM1. Kali 2 keping. Masyukkkk. Baki 20 sen.


Kereta kelisa saya semakin hampir ke pondok tol laluan tol tambahan. (Sila rujuk gambaran Tol Sg.Besi dengan melihat sendiri). "Saya pilih pondok tol kedua, Halim" kata saya sambil memutarkan stereng Roda Impian perodua kelisa. Ada satu kereta sahaja di hadapan. Bagus.


Saya turunkan tingkap pemandu. Sebab pemandu tersebut adalah saya. Perlahan-lahan hulurkan tangan yang berkepit not Rm1 kali 2. 2 keping.


Mata perlahan-lahan cuba membuat eye-contact dengan penjaga tol. Cuba berbuat ramah seperti Makcik Rahmah di kampung saya.


Oh, oh. Not Rm1 kali 2 keping terlepas dari tangan. Jatuh melayang entah ke mana-mana. Saya seluk lagi sekeping not Rm1 dalam dompet, dan membuka pintu, bongkokkan badan dan tunduk mengutip sekeping not yang terlihat di atas jalan tar.


Baru lah saya tahu.



Jangan terlopong dan melepaskan duit tol di tangan anda sebelum diterima oleh penjaga tol cantik yang melatah. Kerana impaknya, RM1 melayang. Dan jangan memilih pondok tol berisi gadis cantik di dalamnya. Cikgu kata berbahaya.




Jangan ok?

Tuesday, 29 September 2009

- k e h i d u p a n p e n g a n g g u r 1 -

..................




Hidup menjadi-jadi rasanya bila menganggur.



Memang menjadi-jadi.



Menjadi entah apa-apa. Sebab kerja membuta dan menambah tompokan suci atas bantal. Tidak payah lagi aku membeli peta dunia.


Tambahan lagi dengan kadar segera, internet melaju di hadapan mata. Cuma, akal je separa pantas hendak mengekstrak butir-butir ilmu keluar ataupun masuk dengan kelajuan kabel optik ataupun kelajuan cahaya. Yang ada cuma, kelajuan mem-facebook melampaui kelajuan bidadari turun dari syurga.


Jadi resume dibiarkan tersadai di perut cakera keras-padat-padu-muatan-500GB. Patutla ada pepatah mengatakan, "Hidup segan mati hensem." atau dalam ayat yang sebetulnya.


"Hidup segan, mati tidak mahu".
"Hidung tidak mancung, pipi tersorong-sorong"


Main kasar nampaknya pepatah tersebut. Ini yang terasa mahu tambah lagi tidur 2 kali lipatan kerana tidak tahan sindiran yang telah dilakukan terhadap diri-sendiri.


Aku sedang mencari hati sebenarnya. Moga ketemu, insyaAllah. Bukan pada gadis. Itu pun perlu cari juga. Tetapi pada solat-solat. Terasa juga kalau 25 tahun ini, tidak pernah merasa solat yang khusyuk kan? Takkan aku mahu tunggu lagi 25 tahun akan datang.



Sebab aku tahu.



Belum tentu maut mahu tunggu aku macam isteri menunggu kepulangan suami.



Jadi, ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri daripada saya. Dan maafkan andai ada terasa apa-apa dengan saya seperti rasa manis, masam, masin, pahit dan mengikut citarasa anda. Semoga amalan kita bersama diterima sepanjang umur berlalu.




InsyaAllah.









Friday, 4 September 2009

- sejak bila aku mula menulis perasaan hati? -

"Ok, my days are numbered. "



Aku tak tahu betul ke tak grammar aku. Tapi grandma aku selalu betul. Sayang grandma. Walaupun aku tak panggil pun grandma. Saja nak bagi kata ganda berima.


Aku tahu, dah tidak berapa lama lagi akan meninggalkan tanah tumpah kepada kangaroo dan koala. Kalau hendak dihitung, kurang 4 jari daripada sepuluh jari yang mengira. 6 hari. Mungkin 5 hari.


Tidak tahu. Aku rasa sayu je kadang-kadang. Macam termenung. Tapi aku selalu termenung pun. Lepas termenung, tidur. Sedih, mungkin.


Sedih sebab aku rasa warga Malaysia di Geelong sudah macam family sendiri. Makan, gelak, ketawa, senyum, sedih, suka, duka. Biasalah, ayat-ayat cliche. Mungkin lepas ini tidak akan rasa seperti ini lagi. Walaupun tiada seorang pun ada talian persaudaraan dan darah dengan aku, tetapi benar kata orang tua-tua, "Pulau pandan jauh ke tengah". Dan ini memang tak ada kena-mengena.


Mungkin, ini orang kata "Dari satu kotak, ke kotak yang lain". Tapi sebenarnya, bukan orang yang cakap. Aku sahaja cipta perumpamaan macam tu. Bajet macam best, hip. Sebab itulah naik nama Box to Box blog ini.


Mungkin sudah tiba untuk aku packing kotak aku di sini. Dan unpacking kotak baru di Malaysia. Hidup baru, cari kerjaya, cari jodoh, berbakti kepada 1 Malaysia. Ntah apa-apa ntah 1 Malaysia. Dulu ada banyak Malaysia kot?




Tapi bila fikir-fikir. Memang tak ada barang pun nak packing.




Oh, packing?




Aku rasa aku dah semakin merapu. Rindu pulak kari ikan kerapu. Nasib baik bulan puasa. Kalau raya pun, mana ada orang masak kari ikan kerapu kan?







Sunday, 23 August 2009

- selamat berpuasa, bukan untuk Encik Selamat sahaja -




Hurm.



Aku blur tiada idea macam hendak masak nasi, beras tak ada. Atau hendak berkahwin, calon tiada. Tapi tidak apa, sebab dah puasa.



Jadi saya ingin mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa.



Kepada Emak & Ayah di Bandar Baru Bangi, Along, Kak Ayang, Marsya & Amsyar di Klang, Abang Wan, Kak Ayn & Hariz di Sungai Ramal, Kak Una di Seremban, Abang Ipin di Indonesia. Saudara-mara di Kelana Jaya, Alor Setar, Padang Serai, Kluang, Melaka dan seluruh Malaysia.



Kepada semua ahli sepersekolahan di SRK Seksyen 6, Shah Alam (1991), SRK Raja Muda, Shah Alam (1992- 1994), SRK Jalan 2, Bandar Baru Bangi (1995), SRK Jalan 3 Bandar Baru Bangi (1995- 1996), SMKA Maahad Hamidiah (1997- 1999), Kolej Islam Sultan Alam Shah (2000- 2001).




Panjang ini. Baca, manalah tahu naik nama kan? kan?



Kepada semua ahli Pointsix, KAED, UIAM (2003-2006), warga KAED, warga UIAM yang mengenali diri saya yang tidak glemer seperti hammer ini.



Kepada semua warga kerja MML Marketing Sdn. Bhd. & Hap Seng Credit.



Kepada semua rakan-rakan di dalam Facebook, Flickr, Friendster, Tagged.



Kepada semua warga Geelong terutamanya di rumah yang terletak atas kedai Harley Davidson sepanjang jalan Mercer Street serta para pelajar Deakin University, dan juga warga Melbourne terutamanya rumah yang terletak di Morrah Street. Kepada warga Newcastle, Adelaide, Sydney, Brisbane & New Zealand.



Juga kepada pembaca-pembaca. Ke pembaca. Bajet ramai sahaja aku ni. Pembaca blog ini. Serta kepada bloggers yang sudah dihubungkaitkan dengan blog ini pada pautan di sebelah kanan anda.



Semoga Ramadhan kali ini akan menjadi Ramadhan yang terbaik bagi kita semua, dan semoga dikurniakan kekuatan dan barakah untuk memanfaatkan Ramadhan ini dengan sebaiknya supaya menjadi islah bagi kita menghadapi bulan-bulan akan datang dengan lebih baik.




InsyaAllah.








*Ghaye jemput datang rumah. Telefon dulu. Kalau tidak, aku pura-pura tidur dan panggil polis.*





Sekian.





Wednesday, 12 August 2009

- m a s a d e p a n -




Tengah malam.



Aku baring. Sleeping bag separuh tersarung di badan.


Aku tenung siling rumah lama-lama. Kalau aku ada kuasa bulan, mungkin akan menghukum mu. Ok, bukan. Itu cuma pepatah cerita kartun Sailormoon edisi alih-suara. Aku tenung siling macam nak tembus. Tapi aku pun bukan Superman. Jadi aku tenung sahaja lah, tidak tembus-tembus.


Kepala ligat berfikir. Macam-macam benda. Maklumlah, sejak muda dan tidak bekerjaya ini. Bukan ada benda sangat ingin difikirkan. Jadi, masa hendak tidur barulah hendak terfikir, kan?



Masa depan. Kerjaya. Balik Malaysia. Jodoh.



Iye, jodoh. Biarlah.



Aku yang nak fikir.



Tapi bukan sahaja pasal jodoh. Aku cuma berfikir dan bercampur-baur antara semua ini. Masa depan. Kerjaya. Balik Malaysia. Jodoh. Kahwin. Tak kahwin. Kerja. Tak kerja. Balik Malaysia, tidak balik Malaysia.



*huh* Aku hembus nafas kuat.



Aku tarik sleeping bag yang di pinggang, sampai menutup muka. Sudah macam kepompong. Metaforanya, mungkin akan keluar jadi rama-rama yang cantik selepas habis berfikir. Mungkin akan dapat keputusan yang tepat untuk diri sendiri. Jadi,aku cuba fikir dalam-dalam lagi. Cuba fikir dalam gelap. Cuba fikir dalam "kepompong" sleeping bag.


Jauh dari cahaya lampu kalimantang di siling rumah. Jauh dari samar-samar cahaya monitor dari 4 buah komputer dalam rumah ini.




Aku fikir.




Fikir lagi. Runsing benar jadinya.



Aku cuba fikir lagi.




Masa depan. Kerjaya. Balik Malaysia. Jodoh.






Tiba-tiba aku berhenti. Berhenti berfikir.



Dan aku menyesal.




Memang patut menyesal.




Menyesal sangat.







Sebab, jangan melepaskan kentut dalam kepompong sleeping bag kalau ditutup sehingga ke muka.





Jangan sekali-kali.




Ingat.




*Busuk benar. Cis.*





Saturday, 1 August 2009

- m u d a & t i d a k b e r k e r j a y a -





Sudah berhari-hari, berminggu-minggu, mungkin sudah sampai hendak berbulan aku biar rumah idea, minda, akal aku ini bersarang tidak berjenguk. Blog. Bukan aku tidak mahu buka. Bukan aku tidak punya masa. Mungkin juga sebab setiap kali bila aku buka, idea itu dia pergi keluar makan dengan rakan-rakan dekat kedai mamak dan tinggalkan aku seorang-seorang merenung sahaja kosong monitor 22" atau 13" komputer riba yang belum tentu aku letak di riba.



Kosong. Lama aku tunggu idea tu, mungkin dia buat reunion dengan rakan-rakan dekat kedai mamak dan terus lupakan aku. Darn it.


Jadi terus sahaja aku melencong dan update status di facebook.



Dan terus berbiar kosong ruangan blog ini. Pusat latihan akal aku merapu dan melontar luahan orgasma fikiran sendiri yang kalau aku suarakan pada orang pun, belum tentu orang mahu dengar.


Blog ini juga luahan hati aku, mana tahu ada yang berkenan dengan penulisnya. *ehem*



Iye tidak ada. Tidak apa. Aku sedar juga diri sendiri.



Bila aku selak tulisan lama dalam blog. Aku teringat pahit manis masam ketiak aku dan letupan sendi-sendi jemari mengupdate blog ini saat sibuk dan tidak sibuk. Sudah hampir 2 tahun aku bersama blog ini.


Mungkin tidak ramai yang membaca. Tetapi yang membaca, saya sayang kamu semua. Seperti lagu nyanyian Fauziah Ahmad Daud dalam lagu "Sandarkan Pada Kenangan". Kalau tidak tahu, sila lah taip ON MUZIK dan SMS ke telefon bimbit aku. Nescaya tiada balasan.


Jadi aku cuba. InsyaAllah. Luangkan lebih masa untuk blog ini. Untuk orgasma minda dan idea aku. Untuk santapan anda-anda yang membaca seperti suratkhabar BACARIA.



Dan untuk aku selak dan baca balik.


Dan gelak seorang-seorang.



Sambil makan coklat.




Oh, dan iye. Sekarang aku graduan dan tidak berkerjaya.





Wohooo....*menjerit ketiadaan wang-an*








Wednesday, 24 June 2009

- p u k u l 1 2 . 0 5 a m -






Senyap.







Aku biarkan sahaja enjin komputer itu berbunyi. Kipas-kipas bising itu sudah cukup rutin aku santapkan pada gegendang telinga. Hari ini Rabu. Tiada apa-apa yang menarik. Cuaca sejuk sejak 2 minggu lepas, sudah biasa, tetapi gigilan aku masih sama iramanya.


Klik biasa aku pada laman-laman web. Facebook, Hotmail, Flickr dan Utusan. Iye aku masih baca Utusan. Sekadar mahu baca headlines. Laporan muka depan. Dan iye, BBC News.




Swine flu. Influenza H1N1.




Sejak kes ini naik sebulan lepas. Atau mungkin sebulan lebih. Aku tak pernah jangka akan sampai ke Malaysia. Apatah lagi ke Australia. 2 tempat yang aku hanya mampu pergi dan pulang.


Dan beberapa banyak soalan agak sedikit paranoia, sedikit concern mungkin. Pasal keadaan di Australia. Tidak apa, aku faham. Aku sendiri jarang-jarang pergi ke Melbourne. Tidak tahu situasi apa sekarang.




Tapi.




Malaysia tidak kurang teruknya sekarang. Dalam 2 hari je, ada 4 sekolah ditutup. Kalau setiap hari, 2 sekolah ditutup. Kalau sebulan sudah 30x2, 60 buah sekolah ditutup. Boleh lingkup juga generasi muda kalau institusi pendidikan ditutup dalam jangka masa lama. Tidak apa, aku tahu kerajaan boleh uruskan.


Dan aku baca berita, laku benar perniagaan topeng saat-saat bencana seperti ini. Yang aku ingat, tahun 1990an begitu, saat jerebu teruk melanda Kuala Lumpur. Aku pun perlu pakai topeng bila keluar. Sudah la seperti topeng doktor. Tidak glamer langsung sebab aku memang tidak mahu jadi doktor.




Melbourne pula antara bandar paling teruk kes Influenza ini. Tapi aku ingin ke Melbourne esok. Kerana tidak sanggup aku menatap monitor 22" ini setiap masa kerana....Aku pun tidak tahu kenapa. Aku sahaja mahu cipta sebab untuk keluar ke Melbourne esok.




Tapi.





Kalau macam itu aku perlu pakai topengkah ke Melbourne esok?






Adakah topeng doktor? Tetapi aku tidak mahu. Sebab aku rasa tidak glamer. Bukan sebab profession doktor tidak glamer. Cuma sebab aku tidak mahu jadi doktor.






Oleh kerana itu, aku nekad. Kalau hendak ber-mask pun, biarlah bergaya.



































Boleh kan?




Kan? Boleh tak?





*mata bersinar-sinar seperti rembulan*








Tuesday, 23 June 2009

- h u r m ? -






Ok. Sedia. Mula.













Ok. Tiada ilham. Korek-korek almari, cari coklat yang sudah hampir 2 minggu dibeli tak habis-habis. Macam tak logik. Kan?




Saya dan coklat. Sama dengan habis sepatutnya. "=" Habis.



Tak mantik.





Kunyah-kunyah, surf-surf sana-sini. Internet. Bukan tepi pantai.





Bosan.









Ahah! Bingo!


Ilham datang sekonyong-konyong. Seperti burung pulang ke sarang. Terbang melayang. Betul tak tipu.






Tapi. Tiba-tiba...




Menguap.





Ilham dan menguap.






Sila lakukan ilmu mantik atau logik anda.






Saya, ilham dan menguap.







.........





Wednesday, 17 June 2009

- p u k u l 1 1 : 4 6 p m -




Dia letih



Saat menatap wajah dunia. Yang dulu cuma beberapa tahun kebelakangan. Tidak pernah sepadat ini. Tidak pernah seriuh ini. Tapi, teman berkata.


"Ini moden. Moden."


Dia jemu.


Saat menatap wajah dunia. Yang dulu cuma beberapa tahun kebelakangan. Tidak pernah seperti kini. Merenung, anak-anak muda. Yang punya agama. Yang kata percaya Tuhan. Tapi tiada bias-bias penganut. Tiada rupa percaya kalam suci. Tapi, teman berkata.


"Ini moden. Moden."


Dia bingung.


Saat menatap wajah dunia. Yang dulu cuma beberapa tahun kebelakangan. Tidak pernah sekecoh ini. Melihat lagak pemimpin negara. Yang petah berbicara. Yang manis mulut melontar ikrar. Yang kata hormati Rasul. Tapi lupa saat berkuasa. Pisah pemerintahan dan agama.


Tapi teman masih berkata.


"Ini moden. Moden."


Dia paling pada teman. Dia bacakan Al-Fatihah. Dia bacakan Al-Ikhlas. Dia lafazkan syahadah. Dia sambungkan tafsiran ayat indah. Penuh tajwid, penuh irama.


Tapi teman masih berkata.


"Ini moden. Moden."


Dia palingkan kembali ke wajah dunia. Dia tahu ada tembok yang perlu dimusnah. Ada tabir yang perlu diselak. Pada sistem-sistem. Pada hati-hati. Pada minda-minda. Yang semakin jauh.



Semakin jauh.



Yang semakin gelap.



Semakin gelap.




Dia tutup tabir dunia. Walaupun cuma dalam lebaran jalur lebar. Tapi jauh, jauh. Dalam sudut hati. Dia sayu dan rasa lemah. Tapi hatinya tidak berhenti berdoa. Tidak pernah mulutnya berhenti berkumat-kamit selepas sujud-sujud wajibnya. Tidak pernah tangannya lupa merapat, menadah.




Moga hidayah.



Moga semangat.



Hadir bersama laungan janji.



Pada kalimah syahadah.



Moga wajah dunia.



Akan bisa menampungi.





Bakal-bakal penghuni syurga.
















Amin.






(ini bukan puisi.cuma lontaran hati.moga sampai ke hati-hati)
- dicetus idea hasil pembacaan http://firadauskhazis.wordpress.com/




Wednesday, 10 June 2009

t e m b a k - t a k - k e n a ?




Aku rasa lelaki memang sangat pandai dalam acara menembak.
No offense kepada gadis. Aku cuma ingin cerita pasal lelaki. Ini sama sekali bukan ada kaitan dengan berat-sebelah kepada satu-satu jantina. Aku masih suka gadis. Suka sangat.


Tapi ini pasal kebolehan menembak bagi kaum lelaki.


Kamu memang bertuah kalau dapat tembak dengan tepat. Sangat hebat.



Tidak kisahlah mahu tembak dalam erti kata meneka. Atau memang tembak secara fizikalnya, menghamburkan peluru-peluru angin atau aku mana tahu peluru apa kamu tembak dalam pusat latihan menembak. Pandai-pandai kamu la, kamu yang menembak
.



Seperti aku kata awal tadi.Kepada kaum wanita. Jangan terasa. Ini sama-sekali bukan berat-sebelah kepada jantina kelelakian.




Dan seperti aku kata. Kalau tembak tepat kamu memang hebat. Kalau sipi-sipi atau terkeluar terus jangan kecewa. Mungkin cuma ada teknik kamu yang kurang. Sangat boleh improve. Boleh perbaiki diri sendiri.


Bila aku kata cara. Bila aku kata teknik. Maksudnya aku menekankan proses menembak itu dilaksanakan. Kalau meneka, mungkin sangat perlu prihatin dengan klu-klunya. Mungkin ada hint-hint yang ingin benar kamu kaitkan dengan jawapan yang akan kamu tembak. Kalau menembak daripada laras senapang ataupun pistol. Mungkin daripada cara memegang, mengacu, memetik picu. Mana aku tahu, aku tengok cerita Shooter pernahlah. Memegang pun cuma pistol permainan laser.



Pistol laser.




*how sweeettt* kata gadis bawah pohon bunga dekat korner sana.




Tapi.





Ada acara menembak yang aku sangat pantang kalau lelaki tidak dapat tepat. Bukan susah pun rasanya. Sasaran sangat besar. Larasnya sudah pun ada. Cuma perlu teknik yang tepat. Yang aku rasa sudah diajari daripada kecil.




Tapi.



Apa pasal la saat aku langkah masuk tandas-tandas awam dalam Malaysia ataupun dalam mana-mana bangunan umum mahupun separa umum, pasti ada kesan percikan 'tembakan' yang tidak tepat.


Come on
encik. Jangan bagi alasan laras bengkok, ataupun picu tertarik awal. Ini masalah teknik yang sangat obvious salah. Dalam adab-adab pun kata suruh duduk. Duduk encik saat 'menembak' dalam tandas.


Jangan kata tiada orang ajar, sebab aku rasa macam benda
basic dalam kehidupan. InsyaAllah, aku rasa takkan jadi masalah tersalah-tembak. Kalau ada masalah, baru kamu jumpa doktor. Mungkin laras pendek. Mungkin, aku cuma kata mungkin sahaja.



*blush*



Sebab itu saya rasa kepada gadis. Jangan terasa ini adalah berat-sebelah kepada satu-satu jantina. Kan?




*wink*













Aku *wink-kah tadi?*............*maaf gatal mata sebenarnya*







Sekadar gambar hiasan. Jejaka dalam gambar, sama sekali bukan aku. Serius.






Saturday, 6 June 2009

- k e l e g a a n -





Lega.



Aku sangat lega saat lepas presentation itu. Lebih lega daripada menyelesaikan masalah personal di dalam tandas. Sangat memuaskan hati. Walaupun aku tahu apa yang aku buat itu langsung tidak bernas seperti jenama beras. Tapi aku lega sebab itu adalah salah-satu beban mental yang aku tanggung dalam masa 2 minggu yang lepas. Atau seminggu. Atau 3 hari.


Whatever.




Malam sebelum itu sahaja kepala aku yang separa padat dengan rambut kusut-masai ini mengeluarkan
margerine. Sedap di makan dengan roti. Iye. Bukan sama sekali. Tetapi seolah-olah terkena migrain. Sakit kepala yang sangat sakit lebih sakit daripada istilah kesakitan tetapi kurang sikit daripada sakit ibu bersalin.


Padahal kerja aku yang ada siap umpama hidup segan mati hensem. Langsung tidak kelihatan hasil. Lagi 11 jam masa presentation. Tak pernah aku rasa secemas malam itu. Seperti berada dalam wad kecemasan menunggu isteri habis bersalin.


Tidur. Solusi muktamad. Sakit kepala tak terlayan.


Aku bangun. Solat subuh. Sambung kerja.


Selepas 2 jam. Aku sedar atas sofa empuk yang memakan tuan. Sofa ini berjalan dan mendukung dan mendodoikan aku tidur dari pukul 7 ke pukul 9 pagi. Uh? 2 jam melayang. Presentation lagi 4 jam. Hasil presentation aku masih lagi separa sedar dalam pc. Cemas berganda. Kali 8.



Mendapat galakan daripada rakan-rakan serumah. Membuat dengan bersungguh-sungguh. Cemas lagi. 1 jam sahaja tinggal. Masih ada 3/4 lagi.




2.00pm.




Orang pertama.


Kerana berkat nama yang ber
alphebatical order A, aku jadi orang pertama. Tak apa. Aku dah hampir tidak larat menahan beban mental dan fizikal yang kurang suntikan tidur.


Pung, pang, pung, pang. Bla, bla, bla. Sze, sza, sze. Siap. Tidak sampai 10 minit rasanya.



Habis.



Eh, ini je? Beban aku menahan dugaan kerja seminggu, atau 2 minggu habis dalam masa 10 minit. Nasib baik lebih lama daripada menunggu mee segera masak. Tapi aku sangat-sangat bersyukur.


Sangat-sangat.




Sangat-sangat, sangat....




Sangat-sangat-sangat-sangat....ihiks, ihiks.





Ok dah. Aku rasa seram plak.




Hish.
Sekian.




Hidangan penyakit mata anda ada di bawah. Boleh save untuk diconteng atau membuat pengalas pinggan.




Sunday, 10 May 2009

c o k l a t ?





Boleh sahaja save kalau mahu buat wallpaper.



Atau cuma buat kenangan.



Atau cuma nak jaga hati aku.



*hurm*



*whatever*





Thursday, 30 April 2009

n y a h - b e k u a n ?




Aku ambil keluar ayam daripada peti sejuk. Atau peti ais. Tapi tiada ais. Jadi aku cuma cakap peti sejuk sahaja.



*keras*


Plastik bertulis Steggles, warna biru putih itu aku bawa ke sinki. Ambil mangkuk besar, buka pili air panas.


*berasap-asap sedikit*


Ayam, yang tadi keras mula lembut perlahan-lahan dengan tindakan kimia antara ayam beku dan air panas yang dinamakan defrost.




Penyah-bekuan.






"......................................."







Begitulah perasaan kaki dan tangan aku saat dilalukan di bawah curahan air shower suam-suam panas.



Macam ayam. Ayam beku.



Defrost. Penyah-bekuan.




*sigh*




Bukan mak nyah. Tapi, penyah-bekuaan.




Nampaknya....




*winter semakin hampir*





Monday, 27 April 2009

- r i n d u k u r o t i - W i l a y a h -




1992



*bunyi hon*


Aku yang masih dalam pakaian uniform putih sesuci embun pagi dan seluar biru gelap separa-jerut-getah pinggangnya cukup suka. Cukup suka saat mendengar bunyi hon serak-serak basah mamak penjual roti.

Dengan motorsikal cabuk dan muatan roti beraneka-rasa yang penuh bergantungan di tepi bekas besi separa-lusuh catnya. Melalui setiap unit lorong-lorong separa besar yang bertanda jalan, melewati daripada satu rumah ke satu rumah teres binaan PKNS awal 80-an itu.

Dan aku tahu. Roti kegemaran aku menanti.


Roti krim buatan tempatan. Roti krim Federal.



Roti Wilayah.




------------------------------------



1999


Sejak aku pindah ke Bangi. Sudah makin susah rasanya hendak bertemu dengan mamak jual roti. Bukan roti canai. Tapi jual roti. Tapi bukan roti naan. Tapi jual roti. Lebih spesifik dan manja, Roti Wilayah.


*whatever*


Aku rindu bunyi hon serak-serak basah itu. Rindu bungkusan-bungkusan yang bergantungan di tepi bekas besi separa lusuh itu.


*bunyi hon*

Aku lari. Berlari ke pintu rumah. Terpancar sinar harapan pada diri aku yang kini dalam uniform putih kurang sedikit suci daripada embun pagi dan seluar hitam. Seluar hitam. Ya, aku Pengawas Pusat Sumber. Bukan Pusat Sumber Manusia. Tapi Pusat Sumber Sekolah. Tak tahu? Sila rujuk kepada adik-adik yang masih bersekolah. Dan bershuffle.


*hampa*


Hon lori suratkhabar lama rupanya. Cis. Kenapa pakai hon pula? Tak serak-serak basah langsung.



*cis*



-------------------------------------------


2007


Saat aku kini dalam pakaian tidak uniform. Cuma kemeja lengan panjang kemas berjenama Padini. Separa seksi untuk orang lain yang memakainya. Bukan aku. Aku mungkin cuma sedikit seksi. Itupun cuma di mata makcik penjual kueytiau goreng dekat dengan office.


Iya, sekarang sudah dalam pakaian kerja. Sudah bertahun-tahun berlalu. Saat telah banyak roti lain pengganti Roti Wilayah. Saat aku hampir membuang memori hon serak-serak basah.


Tapi aku bagai tidak percaya. Takdir seolah-seolah mengusik perasaan aku. Aku nampak Roti Wilayah. Masih lagi dalam bungkusan merah, hijau dan kuning yang sama. Masih dalam bentuk dan saiz yang comel. Masih lagi dijual oleh mamak, walaupun cuma atas meja-meja kedai makan sahaja. Walaupun tanpa bunyi hon serak-serak basah.


Atas keterujaan. Aku beli sebungkus. Sebungkus sahaja. Kerana kalau beli 2 bungkus. Aku cakap 2 bungkus. Bukan sebungkus.



*kan?*



-------------------------------------------


15 Minit Kemudian



Cuma 15 minit sahaja. Tak mungkin aku menghabiskan beberapa tahun lagi untuk menikmati Roti Wilayah yang sebungkus tadi. Masih lagi teruja. Sambil aku menghadap komputer. Sambil membuka bungkusan merah Roti Wilayah.


*bunyi plastik*


Rindu mula menerjah dada. Saat aku mulakan gigitan pertama. Saat aku sambung gigitan seterusnya. Saat aku sudah tidak ingat gigitan keberapa. Saat roti Wilayah itu pun sudah hampir separuh di ratah.


Saat aku berhenti bila tergigit benda rangup.Benda rangup dalam roti. Dalam roti Wilayah.


*perasa baru?*



Saat mulut aku terlopong melihat bekas telur lipas yang sudah separa hilang kerana sudah habis diratah tadi.


*perasa baru??*


Rindu mula hilang pada roti Wilayah.



Saat aku meluahkan isi roti yang dikunyah dalam mulut dan berkumur-kumur dengan air mineral beberapa kali.



Saat aku melemparkan sisa separuh lagi roti Wilayah ke dalam bakul sampah berdekatan.




Saat aku memaki-hamun separa dalam hati dan separa di mulut.




*selamat tinggal roti Wilayah*






*cis*









Sunday, 19 April 2009

- p e s a n a y a h ? -




Si ayah pesan. Selalu selepas solat. Selalu selepas bacaan ayat-ayat Al-Quran, yang tersekat-sekat daripada mulut si kecil.



Si kecil sangat ingat. Padat dalam otak, tapi, akal mentahnya masih kurang mampu untuk mengingat bait-bait ayat pesanan itu.



"Jangan lupa hafal makna surah Al-Fatihah ya?"



Ayah tidak pernah pesan kenapa. Ayah cuma ucapkan lafaz singkat itu sahaja. Dia pun tidak pernah tanya kenapa. Dengan senyuman yang selalu buat si kecil sejuk, tetapi pesan itu terus mengewap keluar daripada benak akalnya. Akal anak-anak kecil sebayanya. Yang mana kehidupan seorang kanak-kanak lebih penting daripada segalanya.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


5 tahun berlalu. Yang umurnya sepuluh tahun dahulu, telah berlipat-ganda.


Si ayah masih tidak pernah putus pesanan. Masih petah mulut bicara pesanan yang sama. Kali ini pada akal yang sudah sepatutnya selipat-ganda.



"Ingat selalu makna surah Al-Fatihah ya? Ingat dan hayati."



Mungkin kali ini bait-bait ayat sudah tidak sama. Ayah masih tidak pesan kenapa. Ada jarak waktu yang bisa ubah struktur ayat yang keluar daripada mulut ayah. Tapi yang pasti, senyuman tidak pernah lekang daripada wajah ayah. Si kecil diam. Kini, bukan lagi akal anak-anak kecil. Malah sudah lebih 5 tahun dewasa daripada dahulu.


Tapi kerana awal remaja, pesanan itu menyejat keluar daripada benak fikiran. Rakan-rakan lebih penting. Mengenal bahagian seronok dunia baru bermula.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


Kali ini, 10 tahun. 10 tahun berlalu. Masa berlalu lagi berlipat-ganda.


Pesanan masih sama daripada mulut ayah. Kali ini jarang-jarang dengar. Sebab, jumpa ayah juga jarang-jarang. Maklumlah, si kecil sudah belajar jauh. Jauh daripada rumah. Walaupun masih berpijak atas tanah negara yang sama.



"Jangan lupa, jangan tinggal solat. Ingat dan hayati selalu makna surah."



Kadang tidak sempat habis, sudah perlu letak gagang. Pesanan ayah di corong telefon. Mungkin masih sambil mengukir senyuman. Tetapi, si kecil tidak ambil tahu. Terlampau ramai rakan-rakan dan hiburan-hiburan dunia yang baru dikenali. Malah, masih pula ada si gadis yang baru menjadi pengisi hati.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


1 tahun. Cuma setahun sahaja berlalu. Masa masih juga berlalu berlipat-ganda.


Pesan ayah masih sama. Walaupun saat si kecil tengah memegang botol-botol air nista, sambil tangan galak memegang gadis-gadis yang langsung bukan halal hubungannya. Walau ayah jauh cuma beberapa puluhan kilometer.



"Jangan lupa, jangan tinggal solat. Solat itu membentuk asas kita. Ingat dan hayati selalu makna surah Al-Fatihah."


Kali ini. Pesanan sangat sayup-sayup terdengar. Hanya ada tempias lagu-lagu kuat di udara. Suara ayah dalam salur telefon, antara dengar dengan tidak. Hanya ada gelak-tawa si jantung hati, memeluk erat pinggangnya. Suara ayah dalam salur telefon, antara dengar dengan tidak.


Tidak mengapa. Masih punya banyak masa.


Kali ini.


Cuma 1 bulan. 1 bulan berlalu. Masa berlalu lagi berlipat-ganda.


Atas lantai, separa hangat. Bunyi lagu masih lagi bingit. Tangan masih lagi memegang air-air nista.


Cuma kali ini. Bunyi lagu sudah semakin sayup. Air-air nista dalam gelas, sedang berlimpahan atas lantai. Si gadis, si jantung hati, menggoncang-goncang badan si kecil. Saat mata si kecil semakin redup. Saat dia sedar ajal datang walaupun dia tidak menjemput.


Kali ini pesan ayah masih sama. Cuma kali ini bukan daripada corong telefon. Bukan daripada mulut ayah saat dia pulang bercuti di kampung. Kali ini, semuanya dalam lintasan memori akalnya. Saat tubuh semakin dingin.


Kali ini dia baru teringat sebab apa pesan itu.


Kali ini baru dia terlintas maksud ayat surah Al-Fatihah yang sentiasa diingatkan oleh ayah dengan wajah tersenyum. Redup. Tapi punya ketegasan dalamnya.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.


Segala puji bagi Allah, Tuhan Seluruh Alam.


Yang Maha Pengasih, lagi Maha Penyayang.


Pemilik Hari Pembalasan.


Hanya kepada Engkaulah yang kami sembah, dan hanya kepada Engkaulah tempat kami meminta pertolongan.


Tunjukkan kami jalan yang lurus.


Jalan orang yang Engkau berikan nikmat kepadanya;


Bukan jalan orang-orang yang dimurkai, dan bukan pula jalan-jalan mereka yang sesat.




"Hafal dan hayati. Itulah doa kita setiap hari dalam solat. Yang kita minta hampir 17 kali dalam solat 5 waktu. Kalau kita benar-benar hayati. Minta Tuhan beri kita petunjuk."


Tiba-tiba terngiang-ngiang ayat itu. Itu pesanan ayah, sejak kecil. Bukan kerana si kecil rasa ayah tidak pernah jelaskan. Cuma akalnya sentiasa ditumpangi dunia. Cuma akalnya rasa, masih punya banyak masa lagi.


Saat dia hembus nafas terakhir. Atas lantai kelab. Dikerumuni ramai insan seagamanya. Dengan basahan air nista atas pakaiannya.




Sejuk.




Saat melihat senyuman ayah.




Saat tertutup matanya.



Dalam kekeluan lidah daripada berbicara kata syahadah.



*mata terpejam*

















"Pap"



Pijar pipi si kecil. Bekas tamparan tangan ayah masih lagi terasa.


"Orang ajar mengaji, kau tidur pula!" cakap ayah sedikit keras.


Hilang senyuman ayah dalam bayangan si kecil.


Dan si kecil masih lagi berumur 10 tahun. Masih lagi dalam tersekat-sekat bacaan ayat-ayat Al-Qurannya.



*teresak-esak*


*Sambil mengesat air mata.*





Tapi, dia sedar.





Sekurang-kurangnya, dia masih punya masa untuk Al-Fatihah.







Monday, 13 April 2009

b u a n g m a s a (1) ?




Pandang.



Kepala dia rasa ding-dong. Berpusing. Nyaris ada bintang-bintang berputar atas kepala.


"Tak nampak jalan ke!!" herdik dia.


Aku minta maaf berkali-kali, dengan tangan spontan di udara dan kepala tertunduk-tunduk gaya ajaran nenek-moyang jepun dalam drama TV.



Diam.Dia diam seketika. Menghela nafas untuk sesi mengherdik kali kedua barangkali.


Aku sudah mula menunduk-nunduk lagi kepala. Kali ini dengan kecepatan lebih 0.1 saat daripada sebelum itu.




*uh*




Oh.




Situasi di atas langsung tiada kena-mengena dengan apa yang hendak ditulis. Aku cuma memanaskan akal yang sarat dengan isi fikiran. Aku sekadar ingin sampaikan satu mesej.




"Tidak semestinya apa yang kita harapkan kita akan dapat."




Maaf. Sekian.




Saturday, 4 April 2009

- p u k u l 2 . 0 0 p a g i -



Pukul 2.00 pagi.



Aku selak-selak lembaran buku "New Urban Housing" sambil cuba memahami isi penting daripada tulisan sederhana besar itu. Sekali-sekala aku gerakkan jari menekan punat-punat keyboard.


*kusut*


Sangat kusut. Aku tidak pernah sedar buku-buku pasal senibina penuh dengan ayat-ayat bombastic separa sastera ini.


*darn it*


Aku klik ikon kesayangan mozilla firefox. Taip youtube. Saja mahu lepas tekanan, mana tahu ada video-video lucu yang mencuit hati.


Dan iye, video ini.






Shuffle? Untuk hari ko-kurikulum sekolah.


Sudah jadi ko-kurikulum rupanya benda ini. Patut la budak-budak sekarang sibuk cerita pasal benda ini.Dan rupanya, inilah yang dinamakan shuffle.


*oh*



Dan research aku masih lagi tinggal 2500 patah perkataan yang perlu dihantar untuk minggu depan.



*hurm?*



Mungkin aku perlu shuffle untuk melegakan tekanan sambil berhibur.



*huh?*





Tuesday, 31 March 2009

s a y a - s e b i l a h - p i s a u - t a j a m




Tajam.



Itulah sifat-sifat saya. Saya berwarna oren, tidak besar dan tidak kecil. Sedang-sedang sahaja. Saya mampu mengeluarkan ketajaman saya dan menyimpan kembali. Sesuai dengan ciri-ciri keselamatan SIRIM.


Saya banyak terdapat dikedai-kedai menjual alat-tulis. Terutamanya alat-tulis untuk pelajar seni-bina. Di baju saya tertulis.


"Warning, extremely sharp blade. Handle with care."


Bahasa apa pun saya tidak faham. Maklumlah, saya tidak ke sekolah. Cuma tahu bahasa Melayu sahaja walaupun saya duduk di Australia.


*sigh*


--------------------------------------


Suatu hari.


Ada jejaka tidak tinggi dan tidak rendah, sedang-sedang sahaja macam saya datang membeli saya di kedai alat-tulis. Saya sangat gembira. Dengan senyumannya yang ceria, menampakkan wajahnya separa cute itu.


*blush*


Nasib baik saya masih straight. Kalau tidak mungkin saya akan jatuh cinta.Walaupun saya cuma dilabelkan $1.09, dia masih sanggup memilih saya.

Mungkin inilah saat paling bahagia dalam hidup saya.


*mungkin*


--------------------------------------

Di sebuah studio.


Setelah berapa lama saya di dalam bungkusan kertas putih, saya akhirnya berpeluang berkhidmat untuk tuan baru saya. Dia mengeluarkan saya daripada plastik. Di atas meja saya nampak, kertas-kertas, lukisan-lukisan yang entah apa-apa lagi dan sebuah komputer riba.

Ada sebuah kotak putih jernih. Di dalamnya berisi earphones. Saya pun tidak tahu apa itu tetapi nampak seperti tuan saya ingin menjodohkan saya dengan benda itu.


"Saya tidak mahu!!!"
jerit hati saya.


Tapi apakan daya, tuan saya nampak bertegas dengan keputusan ini. Dia merapatkan saya dengan kotak putih jernih itu dan mengeluarkan bilah saya yang bersinar dan tajam.


Saya muram. Suram umpama malam gelap tiada bintang. Bagai pungguk rindukan bulan. Saya pun main sebut sahaja. Kerana kan saya tidak pernah ke sekolah?


Perlahan-lahan tangan lembut tetapi jantan tuan saya digerakkan untuk saya ditemukan dengan kotak-putih-jernih-berisi-earphones itu.


Saya pun terfikir idea. Saya akan cuba melawan juga. Sedaya yang saya boleh.


*bunyi potongan saya pada kotak-putih-jernih-berisi-earphones*


Tuan saya terteriak kecil.


*saya sengih*


--------------------------------------


Saya berjaya melawan dan merobekkan baju tuan saya berharga AUD20 itu.


Tetapi saya salah-faham.


Rupanya earphones itu dijodohkan kepada komputer ribanya. Saya sangat kesal.


Sekarang sudah ada 2 lubang kesan robekan badan saya pada baju tuan saya. Baju hitam lengan panjang yang disukainya.


Saya kesal. Kesal sangat. Seperti sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunanya. Saya pun main sebut sahaja yang ini. Kerana kan saya tidak pernah ke sekolah?



Maafkan saya tuan.


Maafkan saya tuan.



*kata saya dalam hati*



*sigh*






Friday, 27 March 2009

- 2 5 t a h u n -



25 tahun.


Tahun ini aku sedar aku akan masuk ke usia ini. Walaupun tarikh lahir aku lambat lagi, tapi tahun kelahiran itu tidak dapat langsung menafikan peningkatan usia aku.

Kalau orang kata aku nampak muda. Ya, masih muda pada usia ini. *ehem* Tapi cukup buat aku sedar zaman aku sudah lama berlalu saat tiada lagi budak-budak sekolah sekarang yang tahu cerita Gaban.


Iye, Gaban. Yang mampu menyeru naga seperti memanggil teksi.


Yang umur baya aku, kamu jangan pura-pura lupa. Atau mungkin kamu memang tak minat Gaban.


*oh, yang benar-benar tidak tahu, aku assume kamu muda sahaja*


Dah tentu bukan kamu bekas rakan sekuliah aku.


------------------------------------------------


Bulan lepas. Bulan Februari. Bulan dua.


Aku masih lagi di Malaysia. Pulang bercuti musim panas. Ke tempat yang sedia panas tetapi yang paling dekat dalam hati.


*oh sweet-nya*


*whatever*


Iye, aku pergi kursus 3 hari. Jangan tanya kursus apa. Tapi aku sangat-sangat bersyukur dapat pergi. Sebab aku sangat pasti ini bukan kursus-kursus zaman aku sekolah-sekolah dulu. Walaupun secara jujurnya pada awalnya aku memang terpaksa.

Sangat-sangat terpaksa.


Tapi akhirnya sangat-sangat suka.


*betul, aku tak tipu*


Oh, tapi bukan kursus kahwin. Kalau kursus kahwin, itu aku sangat-sangat suka dan kamu kali dengan tiga. Jawapannya kamu darab dengan tiga lagi. Dan sebut jawapannya tiga kali ulang-ulang.



------------------------------------------------


Bulan lepas juga adik sepupu aku pergi ke kursus yang sama. Dan dia baru 17 tahun. Aku hantar dia pergi dan pulang ke Shah Alam untuk 2 hari. Pagi ke petang.


Jadi, di lobi tempat aku santai. Lepak. Termenung. Lobi Hotel Concorde.


Saat aku duduk santai atas set sofa nampak lusuh Hotel Concorde itu, aku rancang mahu lelap mata. Sebab malam sebelum itu mata aku lelap lewat sebab aku pun tidak tahu kenapa. Ada beberapa orang budak sekolah duduk sekali di sofa itu. Tidak apa. Nasib baik lelaki. Kalau anak gadis mungkin aku akan kemerah-merahan seperti ditampar 5 kali di pipi ditambah pula dengan jerawat aku.

Iye, mereka berborak. Dan ya, aku turut dengar. Kerana gaya mereka berborak seperti mereka ingin berborak dengan semua orang dalam lobi itu mungkin. Tidak apa.


Walaupun aku terjaga. Aku langsung tidak marah.

Aku pura-pura lelap mata. Sebab aku memang sudah terjaga pun. Terima kasih juga kepada mereka.


Aku dengar mereka berbual-bual. Pasal shuffle. Shuffle.


Aku tahu shuffle kad. Tapi ini bukan kad. Ini pasal menari shuffle.


Sambil bercerita sambil buat gaya. Iye, aku buka sedikit mata aku mahu lihat. Sebab aku tertanya-tanya.


Sudah sepuluh tahun aku tidak balik ke Malaysia kah?



------------------------------------------------


Hotel Concorde.


Masih menunggu adik sepupu aku selesai kursus. Aku duduk atas lantai karpet lantai merah empuk hotel itu sambil menunggu adik sepupu keluar daripada dewan. Ada seorang budak sekolah sebelah aku. Cuma 15 tahun.


*dan lelaki, kalau gadis kamu tampar pipi aku bagi merah lagi. malu.*


Budak itu teman aku berbual. Iye. Bosan menunggu dalam lobi Hotel Concorde ini daripada 9 pagi sampai 7 malam. Dia pasang lagu daripada telefon bimbitnya.


*bunyi funky. ala-ala disco berkumandang*


Budak itu buka mulut bertanya.


"Kau tahu tak shuffle".


*geleng kepala aku* "Tak tahu, apa tu?"


"Dia tarian. Best jugak la"


*aku dengan kerutan di dahi bukan di perut* "Kau belajar ke tarian tu?"


"Tahu sikit-sikit la. Ada belajar."


Aku pun jadi keliru. Sedikit confuse.


Aku rasa mungkin saat aku duduk di Australia. Masa telah berlalu 3 kali ganda lebih cepat di Malaysia. Sudah tiada lagi kisah Gaban. Yang aku dengar cerita shuffle. Dah tak ada main gasing ke, police sentry ke. At least cerita pasal Ultraman ke.


*uh*


Aku sudah tua.



*sigh*


*sambil membuat gaya memanggil naga Gaban*




Tuesday, 17 March 2009

p e r s e p s i ?



Persepsi.


Langsung tiada kena-mengena dengan Pepsi. Cuma bunyi sahaja hampir serupa. Juga tiada kena-mengena dengan lukisan perspektif yang dilukis oleh pelajar jurusan senibina.


Persepsi.


Cuma tanggapan. Ataupun cuma lintasan perasaan atau fikiran. Lebih-lebih lagi terhadap orang ataupun sesuatu perkara. Samada buruk ataupun tidak, samada baik ataupun tidak. Tapi ini definisi pemahaman aku, kalau definisi dalam kamus, mungkin akan lebih senang kamu rujuk nanti sendiri. Sebab aku tidak mampu bawa Kamus Dewan Bahasa Edisi Ketiga dalam bagasi ke Australia kerana beban yang bakal ditanggung oleh Tony Fernandes dengan kapal terbang Air Asia X nya.


Tapi sebab kita ni makhluk Tuhan. Samada paling seksi ataupun tidak. Jadi tidak akan lari daripada kesilapan dan keburukan.


Aku ingat dulu. Saat melihat rupa luaran buat pertama kalinya. Kalau mungkin kulit gelap, rambut berekor halus dan seluar jeans kecil bawah, pasti anggap gaya nampak macam jejaka rempit. Kalau jejaka berpakaian terlebih baju walaupun di Malaysia, pakai topi ala-ala encik Justin TasikTimber, aku pasti anggap dia ini jejaka poyo extra-metroseksualiti kompleks.



*maaf, jangan terasa, itu cuma apa yang aku fikirkan dahulu*


Tapi mungkin aku ambil masa beberapa tahun untuk faham, bahawa itu semua tidak lebih daripada persepsi yang aku lontarkan terus daripada hati aku saat sinaps mata aku pantas menangkap imej-imej manusia seperti yang digambarkan. Lalu akal pendek aku mentafsir. Yang aku sedar, persepsi itu langsung serong.


Dan secara nyatanya, aku berpersepsi bahawa dengan imej yang sedemikian rupa, sudah cukup serta-merta kita melabelkan orang secara tidak sedar dalam hati kita. Yang bagi aku, baru perasan bahawa itu salah-satu asbab tetapi bukan Ahmad Albab, yang menutup hati daripada dekat dengan Tuhan.


Tapi, aku bukan mahu bagi ceramah agama. Aku cuma mahu kongsi apa yang aku rasa.


Sebab aku rasa, selapang-lapang hati itu adalah kita tidak berpersepsi langsung dengan sesiapa. Orang yang kita kenal mahupun tidak. Yang memang buruk perangai mahupun yang semulia akhlak. Apatah lagi berpersepsi dengan Tuhan mahupun kekasih-Nya.


Aku rasa sahaja.


Aku cuba untuk tidak berpersepsi mahupun minum Pepsi. Tidak baik untuk kesihatan. Jadi saat-saat aku leka dan terbuat juga, kamu tegur-tegur aku dengan kata-kata. Sebab aku tidak tahan penampar, sakit.


Tapi kalau aku terminum Pepsi, cukup sekadar bayarkan harganya sahaja.


*boleh?*



Thursday, 5 March 2009

- ? -




Bila sudah lama aku tidak sentuh
keyboard untuk menulis.


Rasa kosong pula. Malaysia buat aku melayang jauh. Sangat rindu dan lemas.


Aku kira semakin kurang patah-patah perkataan yang muncul atas skrin.


Kurang.


Kuran...


K...


*jadi baik aku tidur dahulu*

Monday, 26 January 2009

S a y a - s e b i j i - b o l a - m a t a - k a n a n.




Saya sebiji mata.


Sebiji bola mata kanan.


Saya dianugerahkan sebuah kawan iaitu mata kiri. Kami dianugerahkan kepada tuan yang agak cute tapi kurang hensem ini.


Setiap hari kerja kami melihat kawasan sekitar tempat didiami tuan kami serta menatap skrin komputer.


Kami sering melihat permainan komputer ataupun movies.


Tapi tuan kami juga sering membawa kami berjalan-jalan.

Kami selalu melihat manusia, ataupun homosapien berjalan-jalan di bandar mahupun di pantai ataupun cuma di kedai depan rumah.

Kelebihan tuan saya, dia gemar menggunakan saya untuk melihat benda-benda yang indah dan cantik.


Lebih-lebih lagi kalau manusia yang cantik.


Kadang-kadang bola mata saya ditujukan kepada muka. Kemudian.....


*ah, malu saya untuk menceritakannya*


*hikhikhik, gelak saya keseorangan*


Tapi jarang saya berkelip. Saya mahu tuan saya menikmati pemandangan itu sepenuhnya. Saya gembira kalau tuan saya gembira.


Suatu hari. Saya bangun pagi sambil mengalirkan air mata dan sedikit kumuhan. Pelik. Tapi, kemudian, saya dengar.


Tuan saya sudah tidak sayang saya lagi.


Katanya, "rasa mahu mengorek saya keluar".



Saya begitu sedih. Sedih yang amat.


Tapi nasib saya baik. Tuan saya rupanya mahu menghadiahkan saya dengan mandian segar.


Saya dibasahkan dengan air yang sejuk dan nyaman setiap 3 jam.


Rupa-rupanya, tidak sia-sia saya berkawan dengan ketumbit.


Sekarang tuan lebih menyayangi saya.


Sekarang saya sudah lebih disayangi daripada mata kiri.




*Senyum.*






Terima kasih ketumbit.